Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Azmi Caliph Busker Pencabar Utama Saya - Hafiz Hamidun

Kamaruddin Razal 18/05/2017 | 12:27 MYT
Penyanyi Hafiz Hamidun meletakkan vokalis kumpulan Caliph Busker, Azmi Saat sebagai pencabar utamanya dalam program Gema Gegar Vaganza (GGV).
Bakal beraksi di pentas akhir, Hafiz bakal menbawakan lagu Nur Kasih nyanyian asal kumpulan nasyid In-Team.
"Pencabar dalam GGV semuanya kuat. Mereka mempunyai kreativiti tersendiri. Lagi pun, empat peserta adalah peserta berkumpulan.
"Saya menganggap Azmi pencabar utama saya kerana hanya kami berdua tampil solo di pentas akhir. Azmi sangat bagus dan memberikan persembahan menarik saban minggu.
"Saya kagum dengan Azmi. Dia juga menggunakan kekurangan yang ada pada dirinya sebagai kelebihan untuk lebih berjaya," kata Hafiz kepada Astro Gempak.
Tambah Hafiz, dia mahu memberikan sesuatu yang berbeza di pentas akhir GGV.
"Nantikan persembahan saya di malam konsert akhir GGV nanti. Saya akan berusaha untuk tampil dengan persembahan menarik dan berbeza yang saya dedikasikan kepada penonton dan peminat yang tidak jemu menyokong saya dan GGV," katanya lagi.
Konsert akhir Gema Gegar Vaganza akan bersiaran pada Ahad, 21 Mei, jam 9.00 malam di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).
Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.
Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.
Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Mango Touch
#Hafiz Hamidun #GemaGegarVaganza
;