Berita

Dilanda Kontroversi, Nora Tidak Menyesal Sertai GV 3

Kamaruddin Razal
29/11/2016
08:59 MYT
Sponsor Banner
Dilanda Kontroversi, Nora Tidak Menyesal Sertai GV 3
Bintang GegarVaganza 3 (GV 3), Nora menjelaskan tidak menyesal dengan keputusan yang dilakukannya menyertai GV 3, biarpun ramai yang berpendapat dia tidak sepatutnya bersaing dalam program tersebut.
Tersingkir di minggu separuh akhir GV 3, Nora terpalit dengan kontroversi semenjak minggu suku akhir.
Pada minggu suku akhir, Nora dikaitkan dengan isu menukar lagu dangdut yang diterimanya kepada lagu rock, dan kontroversi berlarutan sehingga menjelang konsert separuh akhir apabila dia dikatakan menukar lagu pilihan media, All I Ask nyanyian Adele kerana mahu menyanyikan lagunya sendiri yang berjudul Sandiwara.
Namun begitu, Nora melakukan kejutan pada minggu lalu dengan menyanyikan lagu pilihan media yang disampaikan secara medley bersama lagu Sandiwara.
“Saya tidak menyesal menyertai program ini dan saya juga rasa tidak menyesal untuk bersaing bersama bintang-bintang yang lain. GV 3 merupakan salah satu landasan dan batu loncatan yang baik untuk memberi peluang kepada penyanyi senior muncul semula beraksi di pentas dan memeriahkan industri muzik.
“Saya agak sedih apabila timbul kontroversi yang tidak sepatutnya berlaku. Saya bukanlah seorang penyanyi baru. Mengenai isu yang mendakwa saya berlagak diva, saya sendiri sebagai penyanyi lama sudah lali dengan tuduhan tersebut.
“Saya sudah lama terlibat dalam bidang ini, usia penglibatan lebih 20 tahun. Saya bukannya penyanyi yang baru sahaja muncul dalam industri nyanyian dan menyanyi, jadi tolonglah beri sedikit rasa hormat. Saya merasakan saya perlu mendapat sedikit rasa hormat,” kata Nora kepada Astro Gempak.
Berbicara mengenai perancangan kerjayanya selepas program GV 3, Nora mahu mengambil masa untuk berehat bersama keluarganya terlebih dahulu.
“Bersaing selama tujuh minggu dalam GV 3 merupakan satu durasi yang amat panjang. Saya sudah mempunyai perancangan apa yang bakal saya lakukan dalam bidang nyanyian pasca GV 3, tetapi buat masa sekarang, biarlah saya mengambil masa rehat terlebih dahulu bersama keluarga,” katanya lagi.
GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).
Konsert minggu akhir GV 3 bakal menyaksikan bintang GV 3 menyanyikan dua buah lagu. Enam bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.
Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GV 3 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar