Berita
"InsyaAllah, Tahun Depan Berempat" - Ali Puteh Bakal Timang Anak Kedua
Pelawak yang juga anggota kumpulan Puteh, Ali, berkongsi rasa gembira dengan Astro Gempak apabila isterinya disahkan hamil tiga bulan.
Ali ketika dihubungi Astro Gempak berkata, berita kehamilan isterinya kali ini lebih mengujakan kerana tarikh kelahiran anak keduanya itu dijangka dua bulan selepas abangnya, Abam.
“Semalam (Khamis) saya dan isteri pergi ke klinik kerana isteri kurang sihat.
“Hasil pemeriksaan mendapati isteri kini sedang hamil tiga bulan dan doktor menjangkakan tarikh kelahirannya pada bulan Ogos.
“Tahun depan mak saya akan sambut dua cucu sekaligus. Bayi Abam pula dijangka dilahirkan pada bulan June, 2019,” katanya teruja.
Tambah Ali lagi, isterinya Melati Fitri Abdullah mengalami alahan agak teruk pada kehamilan kali kedua ini.
“Kali ini kuat pula mabuknya. Bau masakan pun tak boleh, tapi setakat ini semuanya normal dan baik-baik sahaja.
“Doakan urusan saya dan isteri dipermudahkan, ya!”, katanya.
Ali dan Melati Ali yang bercinta sejak menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, bergelar suami isteri pada 28 Mei 2016.
Mereka telah dikurniakan seorang puteri, pada 4 November 2017 yang dinamakan Sharifah Nur Aaira Qaireen.
Dalam perkembangan lain, Ali dan seorang lagi anggota kumpulan Puteh, Mamak, bakal berentap di minggu kesembilan Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) malam ini, bertemakan Karoot Komedia.
“InsyaAllah Puteh akan lakukan yang terbaik walaupun persaingan semakin sengit sekarang ini.
“Terima kasih kepada yang telah menyokong Puteh selama ini,” katanya.
Puteh bakal berdepan dengan kumpulan Zero, Shiro, Bocey, Joras, Taman dan Masin.
MLM 2018 bersiaran secara langsung dari Royal Teater Shah Alam, setiap Jumaat jam 9 malam dan boleh ditonton menerusi Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).
Foto: Instagram @syedaliputeh