Berita
MLM 2018: "Apabila Kami Tersingkir, Kami Rasa Cukup Adil" - Joras
Tampil sebagai antara peserta yang sentiasa mendapat sokongan ramai peminat, akhirnya kumpulan Joras terpaksa angkat kaki terlebih dulu daripada saingan program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018).
Kumpulan trio terdiri daripada Zahid Tajuddin (Ropie), Zulkifli Daud (Joey) dan Rahim Mat Ali (Rahim Sepahtu) ini tersingkir pada minggu ke sembilan.
Rahim berkata, meskipun sebagai peserta otai dalam kalangan peserta lain, mereka tetap percaya peserta yang gagal membuat persembahan yang menghiburkan bakal tersingkir.
"Jadi, apabila kami tersingkir, kami rasa cukup adil. Kami sendiri dapat rasa macamana persembahan sendiri dari awal ketika latihan," katanya kepada Astro Gempak.
Jelasnya, persembahan Joras kurang menjadi kali ini atas faktor persediaan mereka sendiri dalam mencari bahan lawak yang sesuai.
"Minggu kali ini paling kurang berjumpa. Kami berjumpa pada Khamis yang mana selalunya lebih awal pada Sabtu atau Ahad.
"Akibatnya, kami kurang masa untuk cari ‘content’ dan sebagainya. Tidak dinafikan perkara ini menyumbang kepada kekurangan persembahan kami pada minggu ini," katanya.
Meskipun tewas daripada impian ke final MLM 2018, Rahim juga menyatakan mereka bertiga menerima kekalahan ini bersama.
"Apapun, perkara ini harus ditanggung satu pasukan bukan pada individu. Kami berprinsip berjaya sama-sama, kalah pun sama-sama," katanya.
Tambahnya, mereka pada awalnya mempunyai beberapa idea untuk persembahan kali ini sebelum mengambil persetujuan bersama.
"Kami rasa rezeki tiada. Kami rancang untuk membuat persembahan yang membawa kelainan tapi risikonya sama ada ia jadi lain sangat sehingga hancur atau satu lagi ia nampak sebagai unik," katanya.
Jangan lupa menonton MLM 2018 setiap Jumaat jam 9 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan On Demand.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak
Must-Watch Video