Berita
Pelawak Itu Cita-Cita, Jurukamera Kerjaya…Saya Dalam Dilema – Danial Lawak Solo
Juara Lawak Solo musim pertama, Danial mengakui berada di dalam dilema sama ada mahu terus bekerja sebagai jurukamera atau fokus kepada pentas komedi sepenuhnya.
Danial atau Mohamad Danial Mohd Zaini, 23, berkata, dia masih belum memutuskan tentang hala tuju kerjayanya itu.
“Terus-terang saya katakan, saya masih belum memikirkan soal itu kerana sejak menyertai program ini, saya tidak menjangkakan akan menjadi juara.
“Saya seorang jurukamera sambilan di Utusan Online, sayang kalau saya tinggalkan kerja saya itu, tetapi berlawak minat saya.
“Tengoklah nanti saya akan buat keputusan dalam waktu terdekat. Jika ditakdirkan pelawak merupakan kerjaya baru saya, saya akan memberi fokus seratus peratus dalam bidang ini kerana saya mahu berdiri seiring dengan Nabil Ahmad,” katanya ketika ditemui Astro Gempak di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), baru-baru ini.
Bercakap mengenai wang kemenangannya sebanyak RM80,000, Daniel berhasrat untuk membawa ibunya ke tanah suci Mekah mengerjakan Umrah atau Haji.
“Niat saya memang nak bawa ibu pergi ke Mekah. Mudah-mudahan hasrat saya itu tercapai dan wang ini mencukupi untuk hantar ibu ke sana.
“Apa lagi yang boleh saya berikan sebagai anak, selain berbakti kepada ibu dan bapa serta penuhi impian mereka,” katanya sebak.
Dalam pada itu, Danial turut berharap agar kehadirannya di pentas lawak diterima ramai dan dapat memeriahkan lagi dunia komedi tanah air.
“Terima kasih kepada sifu saya di Lawak Solo iaitu Nabil, Douglas Lim dan Ebby Yus kerana telah banyak memberi tunjuk ajar sehingga saya berjaya bergelar juara.
“Tanpa tunjuk ajar dari mereka, saya mungkin tidak akan berada di tempat saya sekarang. Saya juga berharap agar kehadiran saya ini dapat memberi warna kepada dunia komedi tanah air,” ujarnya.
Selain Danial sebagai juara, pentas akhir Lawak Solo turut menyaksikan Mad Sabah memenangi tempat kedua dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM40,000.
Pemenang tempat ketiga dan keempat menjadi milik Fikry dan AG Hafiz dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dan RM10,000.
Keempat-empat peserta akhir turut mendapat trofi sumbangan Astro.
Juri pertandingan terdiri daripada juri tetap, Datuk AC Mizal dan pelawak terkenal, Saiful Apek serta juri jemputan, Erra Fazira.
Semua finalis Lawak Solo diadili 70 peratus juri profesional dan 30 peratus undian penonton.
Program berkenaan diacarakan pelawak popular, Johan.