berita
Saya Tak Kisah Kalah, Tapi Saya ‘Kisah’ Bila Kerjaya Saya Dikatakan Sebagai Hobi – Anding
Bekas bintang AF Megastar, Anding meluahkan rasa terkilan apabila kerjayanya dikatakan sebagai hobi ketika konsert homecoming pada Ahad lalu.
Posting tersebut dimuat naik Anding di akaun sosial Instagram (IG) tengah malam semalam dan telah mengundang pelbagai reaksi pengikutnya.
Anding pada ruangan kapsyen entri tersebut berkata, dia tidak kisah kalah tetapi apabila kerjayanya sebagai penyanyi didefinisikan sebagai hobi, itu membuatkannya terkilan.
“Nyanyian bukan sekadar hobi, itu kerjaya dan masa depan saya. Ia minat dan darah daging saya yang menyara kehidupan saya selama ini.
“Apa yang anda katakan mungkin akan mengancam masa depan saya sebagai penyanyi dan peghibur. Menyanyi bukan sekadar hobi buat saya ‘tuan’. Tuan tidak tahu apa yang telah saya lalui sepanjang 13 tahun lepas. Tuan tidak mengikuti perkembangan saya tetapi sekadar menilai saya menerusi persembahan saya pada satu malam sahaja,” tulisnya.
Katanya lagi, jika menyanyi hanya sekadar hobi tidak mungkin dia bertungkus lumus dan tidak cukup rehat semata-mata untuk melakukan persediaan dalam persembahannya.
“Jika menyanyi itu sekadar hobi tidak mungkin saya membuat persembahan untuk MUD The Musical, atau diundang menyanyi di hadapan Perdana Menteri Malaysia, Singapura, Sultan Brunei, Barrack Obama dan pemimpin negara-negara Asean lain.
“Hobi juga tidak akan membawa saya untuk mengadakan persembahan di Istana Budaya dan membuat demo serta guide untuk artis-artis A list dan lagu mereka hit. Menyanyi sebagai hobi tidak sesuai dikatakan apabila menyanyi di Kuala Lumpur pagi dan kemudiannya di Sibu, Sarawak pula pada waktu malam.
“Berkejaran ke studio untuk mengadakan latihan pada jam 2 pagi selepas turun daripada kapal terbang di KLIA, itu bukan hobi. Seperti yang saya katakan, saya tidak kisah kalah tetapi jangan memburukkan masa depan saya dengan panggilan tersebut (menyanyi sebagai hobi).
“Saya minta maaf kerana posting ini, tetapi saya perlu mempertahankan hak saya. Dan ini adalah hak saya dan saya tidak akan putus asa,” luahnya.
Must-Watch Video