Berita
"Siang Di Hospital Jaga Syahid, Malam Tidur 3 Pagi" - Bazli UNIC Cerita Cabaran Sebelum Jadi Juara GGV1
Ahli kumpulan UNIC, Bazli Hazwan berkongsi cabaran yang dilaluinya pada minggu akhir konsert Gema Gegar Vaganza musim pertama tahun lalu.
Kata Bazli, sepanjang minggu akhir GGV1 dia perlu membahagikan masa untuk menjaga anaknya, Syahid yang sedang sakit di hospital selain memberikan fokus untuk persembahan konsert akhir mereka.
"Pada minggu final, saya sangat sibuk dengan persiapan, mood dan kerah idea.
"Dalam masa sama nak berbahagi waktu menjaga Syahid tersayang di hospital, soal keletihan tu jangan ceritalah selain bermain emosi sebab anak sakit ditambah rehat yang tak sempurna ulang-alik hospital.
"Malam-malam terakhir sebelum final pukul 3 pagi kawan-kawan sudah tidur, mata saya tak mahu lelap walau badan sangat letih.
"Saya masih main Whatsapp membebel seorang diri dalam group UNIC, curah lepaskan idea baru, step barulah, pakaianlah, wordinglah gimiklah macam-macam hal otak ligat berpusing dek kerana risau nak buat yang terbaik," tulisnya di Instagram.
Bazli kemudiannya nekad untuk menghadiahkan kejayaan buat anaknya dan impian itu menjadi realiti apabila UNIC dinobatkan sebagai juara GGV1.
"Pagi Sabtu hari final sebelum ke dewan, saya ke hospital terlebih dahulu uruskan Syahid.
"Peluk cium Syahid minta restu doakan ayah berjuang.
"Ayah nak buat terbaik demi kau, ayah nak buktikan ayah berjaya perform sebaik-baiknya dan tak cuai menjaga kau.
"Dan malam final itu... Sejarah berlaku. Tuhan Penentu.. Syaaaahhiiiiid... Ayaaahh Menaaaaaaaang!!!! Dan.. Air mata pun mengalir," tambah Bazli.
Kata Bazli lagi, Syahid menjadi inspirasi UNIC untuk berjuang hingga ke konsert akhir GGV1.
Mengimbas semula, Bazli kehilangan anaknya, Syahid, 4, pada 12 Ramadan tahun lalu akibat kanser limfoma.
GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).
Konsert minggu ketiga GGV2 bakal membawa tema Bukan Biasa Biasa dan 10 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.
Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV2, mahu melihat kembali video-video persembahan GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV2, klik ---> GemaGegarVaganza.
Teks oleh: Amri Hassan