Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Tidak Menyesal Berhenti Kerja, Kumpulan Kiut Teruskan Kerjaya Sebagai Pelawak

Elrafaei Sapi 19/11/2018 | 13:00 MYT
Kumpulan Kiut sudah menjangkakan mereka menjadi peserta seterusnya yang tersingkir dari program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) baru-baru ini.
Salah seorang anggota kumpulan ini iaitu Mohammad Syahir atau lebih dikenali sebagai Tapai menyatakan dia bersama dua rakannya sudah memberikan persembahan terbaik pada minggu ketiga kali ini yang membawakan tema Cinta.
"Kami sudah buat yang terbaik. Sebelum persembahan kami kata jika ada rezeki ada, jika tiada tak mengapa," katanya kepada Astro Gempak.
Ujarnya, mereka bertiga termasuk Mohamad Hanaffi Mat Yusuf (Shendo) dan Mohd Fairul Nidzam Mat Yusuf (Niezam) mempunyai keyakinan sebelum membuat persembahan di atas pentas.
"Kiranya persembahan terakhir kami ini, kami sudah buat dengan sepenuh tenaga untuk menghiburkan penonton.
"Bagaimanapun, apabila rezeki tahap itu, kami terima. Kami ada beberapa idea lain tapi saya anggap itu semua rezeki," katanya.
Mengenai perancangan selepas ini, Tapai yang sebelum ini mempunyai pekerjaan tetap di Majlis Bandaraya Pulau Pinang sebelum mengambil keputusan berhenti kerana tidak diluluskan cuti berharap dapat meneruskan karier sebagai pelawak.
"Insha Allah kami teruskan kerjaya sebagai pelawak. Orang lama (pelawak) juga mencuba macam-macam untuk naik, kami ingat itu saja.
"Kami tidak menyesal (berhenti kerja) kerana saya sendiri yang mengambil keputusan tersebut," katanya.
Jangan lupa menyaksikan MLM 2018 pada setiap Jumaat jam 10 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan ‘on demand’.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak
#Kiut #MLM 2018
;