Berita
Tidak Sangka Dapat Banyak Tawaran Sejak Masuk MLM 2017 - Abioso
Peserta Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Abioso, menganggap penyertaan mereka dalam pertandingan di Malaysia telah membuka peluang untuk berkarya di negara ini.
Abioso dianggotai oleh Mamad, Sarip dan Amin.
Menurut Mamad, populariti mereka semakin meningkat sejak menyertai MLM 2017 dan bersyukur kerana lawak mereka semakin diterima peminat di Malaysia.
"Meskipun kumpulan kami hanya mampu bertahan pada minggu kesepuluh namun perkara tersebut merupakan pengalaman yang indah untuk Abioso.
"Sebagai peserta yang berasal daripada Indonesia kami tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk memenanggi pertandingan ini kerana sasaran kami cuma ingin bertahan sehingga minggu kelapan.
"Program ini juga telah menaikkan nama kami di Malaysia dan Abioso telah menerima beberapa tawaran untuk berkarya disini.
"Kami juga tidak akan mensia-siakan peluang diberikan dan berharap dapat terus memberikan yang terbaik kerana peluang yang datang ini bukan mudah untuk dicapai," katanya kepada Astro Gempak.
Mamad ditemui ketika majlis sidang media minggu kesembilan MLM2017 bertempat di Royal Theater Shah Alam pada Jumaat.
MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Datuk Aznil Nawawi dan Neelofa yang akan mengadili para peserta.
MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, jam 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda sebagai Gempak Man Of The Match (GMOTM), klik di sini ----> MAHARAJA LAWAK MEGA 2017.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi