Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
berita

Umpama Mimpi Jadi Kenyataan, PM Hadiah Cuti Umum

Rozaimi Zubaidi 31/08/2017 | 03:10 MYT
Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) umpama mimpi menjadi kenyataan.
Pada majlis yang berlangsung semalam, Najib mengumumkan 4 September sebagai cuti umum sempena kejayaan kontinjen negara muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2017 yang menutup tirainya, semalam.
"Saya bukan senang nak bagi cuti sebab Malaysia sudah terlalu banyak mendapat cuti umum.
"Tetapi kerana pencapaian kita yang luar biasa, sokongan rakyat berbilang kaum yang padu, pencapaian atlet kita yang cemerlang, maka dengan ini saya bagi pihak kerajaan mengumumkan cuti umum pada hari Isnin ini.
"Ada orang kata sambutan ini membawa dua kegembiraan, iaitu pertama Malaysia menjadi hos temasya Sukan SEA ke-29 dan kedua kita menyambut sambutan ke-60 tahun kemerdekaan.
"Tetapi sebenarnya bukan kejayaan berganda, tetapi tiga kejayaan, kerana apa?... kerana Malaysia dijulang sebagai juara keseluruhan Sukan SEA dengan meraih 145 pingat emas daripada 404 yang dipertandingkan," kata Perdana Menteri pada majlis penutup KL2017 dan Ambang Kemerdekaan Ke-60 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Rabu.
Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menjadi arkitek kepada kejayaan penganjuran temasya kali ini.
Malaysia diangkat sebagai juara keseluruhan selepas mengutip 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa, sekali gus mengetepikan juara bertahan Thailand di kedudukan kedua.
Sumber: Berita Harian
#Sukan #Sukan SEA 2017 #KL2017
;