Big Stage 2020

Dinie Rashid Mengaku Dulu Selalu Diperlekeh, Tapi Lepas Big Stage 2020 Diri Jadi Lebih Yakin

Fiza Kamarudin
10/11/2020
09:00 MYT
Sponsor Banner
Dinie Rashid Mengaku Dulu Selalu Diperlekeh, Tapi Lepas Big Stage 2020 Diri Jadi Lebih Yakin
Penyanyi Dinie Rashid yang juga bekas peserta Big Stage 2020 (BS2020) akui kekurangan dirinya pernah diperlekeh suatu masa dulu.
Namun selepas menyertai BS2020, Dinie kini melangkah lebih yakin dan percaya dirinya mampu memberikan persaingan kepada rakan-rakan seperjuangan dalam industri.
“Saya pernah dipandang rendah dan diperlekeh hanya kerana saya ini pemegang status Orang Kurang Upaya (OKU) (penglihatan).
“Tetapi selepas menyertai BS2020, keyakinan diri saya lebih tinggi. Saya dah tahu apa yang mampu saya lakukan.
“Yang penting kena usaha dan kerja keras kalau mahu impian kita itu tercapai,” katanya kepada Gempak.
Tambah Dinie lagi, dia juga tidak mahu dirinya diterima dalam industri kerana simpati tetapi biarlah disebabkan bakat.
“Saya harap mereka lihat bakat yang ada pada diri ini, bukan kerana simpati dengan kekurangan saya.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberikan dorongan dan semangat.
“Saya juga bersyukur kerana mempunyai pengurusan yang yakin dengan diri saya,” katanya positif.
Dalam perkembangan lain, Dinie kini dalam perancangan untuk menghasilkan single terbaharunya tidak lama lagi.
Menariknya, single kali ini Dinie akan mempertaruhkan sesuatu yang berbeza dari lagu sebelum ini berjudul ‘Bukan Cinta Aku’ bergenre balada.
“Saya masih ingat pesanan Faizal Tahir ketika di pentas akhir BS2020. Dia bersetuju dan lebih enjoy melihat saya menyanyikan lagu-lagu yang lebih relaks dan santai.
“Daripada situ, saya mula terfikir apa salahnya jika saya cuba sesuatu yang baru dan buat benda yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Jika pihak pengurusan bersetuju, Alhamdulillah…Saya serahkan kepada mereka kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik buat saya,” katanya.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar