Big Stage 2023

#BIGSTAGE5: Nadeera Zaini Melompat Gembira Siti Nurhaliza Puji Skil & Suara Bagus! - "Terperanjat! Syukur Tak Terkata Apa Dah"

Amri Hassan
29/05/2023
03:55 MYT
Sponsor Banner
#BIGSTAGE5: Nadeera Zaini Melompat Gembira Siti Nurhaliza Puji Skil & Suara Bagus! - "Terperanjat! Syukur Tak Terkata Apa Dah"
Bintang Big Stage 5, Nadeera Zaini terperanjat dan terkedu apabila mendapat pujian daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza usai membuat persembahan pada konsert keempat pada Ahad.
Ulas Nadeera, 29, dia dimaklumkan oleh pengurusannya sejurus menyanyikan lagu Bunga-Bunga Cinta (Misha Omar) sempena tema Hari Jiwa Galau minggu lalu.
"Saya terperanjat. Gembira melompat-lompat! Apabila tengok komen daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza, rasa macam bermimpi.
"Sesuatu yang saya tak pernah jangkakan, seorang legenda, penyanyi yang disegani komen. Saya sangat terharu apabila beliau memuji saya sebegitu, saya sangat bersyukur, tak terkata apa dah.
"Memang ada impian saya untuk menyanyi bersama beliau sebenarnya. Angan-angan itu percuma, mana tahu suatu hari nanti.
"Jadi, walaupun saya dipuji di Instagram Stories, sudah menjadi sesuatu yang besar buat saya," ujarnya kepada Gempak.

Vokal & skil Nadeera bagus

Dalam hantaran di Instagram Stories, Siti Nurhaliza memuji kualiti vokal dan skil nyanyian Nadeera yang dirasakan bagus, sekali gus bersetuju dengan komen juri undangan, Datuk Syafinaz Selamat.
"Setuju sangat dengan kakak saya Datuk Syafinaz Selamat. Nadeera Zaini punya skil dan suara sangat bagus.
"Seangkata Aina tapi rezekinya belum betul menyerlah. Perlukan sokongan peminat muzik tanah air," tulis beliau.

Tunggu rezeki 10 tahun

Mengulas lanjut mengenai rezeki yang masih belum berpihak pada Nadeera untuk terbang sama tinggi dengan rakan serumahnya, Aina Abdul, pelantun lagu Nyawa itu menganggap ia ketentuan Allah.
"Memang ramai yang mempertikaikan kenapa saya ada bakat tapi tak menonjol. Sebenarnya itu semua rezeki. Kalau Allah nak bagi, Allah bagi.
"Kalau bukan rezeki saya, maknanya itu yang terbaik untuk saya. Apapun yang Allah berikan saya terima dan reda.
"Bagi saya rezeki itu berkat untuk saya. Saya tak pernah merasakan lambat. Sebab mak selalu pesan pada saya, bersabarlah kerana kita tak akan rugi dengan kesabaran.
"Sabar saya sudah lebih 10 tahun, berbelas-belas tahun rasanya sebab saya pun bermula dari umur 17 tahun, sekarang sudah 29 tahun.
"Kita tengok sekarang kawan baik saya pun Aina Abdul, Ernie Zakri mereka sudah sampai di tempat terbaik mereka. Mungkin Allah cakap belum lagi, suatu hari nanti, insya-Allah," tambahnya.
Nadeera menduduki tangga keempat dengan kutipan markah keseluruhan 82% selepas Waode, Hoondoo dan Putera Muhammad.
Pertandingan ‘Big Stage’ telah menobatkan empat juara sepanjang penganjurannya yang terdiri daripada Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan Elica Paujin (2022).
‘Big Stage 5’ akan berlangsung selama sepuluh (10) minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 7 Mei, setiap Ahad, jam 9 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104).
Untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar