Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Big Stage S4

Aisha Retno, Elica Paujin Tak Saling Membenci, Kongsi Tradisi Keluarga Campur Raikan Ramadan

Maliah Surip 11/04/2022 | 13:55 MYT

Berseteru dengan sangat rancak sewaktu sama-sama bersaing di pentas Big Stage 2022, ironi hubungan yang terjalin di antara penyanyi muda Aisha Retno dan Elica Paujin akrab.

Apa yang difikirkan khayalak bahawa keduanya saling bermasam muka adalah salah. Malah, juara Big Stage 2022, Elica, 23, dan tempat ketiganya, Aisha, 22, saling menggelarkan diri mereka dengan panggilan ‘Bestie’.
Menggabungkan Elica dan Aisha lewat edisi Ramadan #GTheUntoldStory, mereka juga berkongsi isu body shaming dan rencana masa hadapan yang sudah terbentang luas usai graduasi dari pentas Big Stage 2022 beberapa minggu lalu.
IMPAK BIG STAGE 2022
GEMPAK: Tahniah atas kejayaan menjadi juara Big Stage 2022 walaupun sempat digelar sebagai peserta underdog. Bagaimana Elica melihat impak selepas berakhirnya pertandingan ini?
ELICA: Impaknya memang cukup besar dan kini jadual semua sudah berubah. Kehidupan saya berubah mengikut karier yang kini mula diberi perhatian selepas graduasi dari Big Stage 2022.
GEMPAK: Tahniah atas kejayaan meraih tempat ketiga di Big Stage 2022 walaupun sempat menjadi pilihan banyak pihak untuk melihat Aisha pulang dengan gelaran juara. Bagaimana anda melihat impak selepas berakhirnya pertandingan ini?
AISHA: Impak dalam pertandingan ini buat karier saya sangat besar. Ia bermula dari awal malah sebelum Big Stage 2022 bermula, saat ia berlangsung sehingga ke penghujung. Bagaimanapun semua perjalanan ini memberi pulangan yang baik.
Saya belajar banyak benda dalam program ini secara mental dan fizikal. Jadi bila sudah keluar, ia menjadikan saya lebih bersedia.
Dulu saya pernah masuk program lain, namun belum bernasib baik. Big Stage 2022 adalah platform terbesar untuk saya dan berpeluang bersaing dalam program ini, dan apabila sudah keluar, kita sudah boleh melihat impak yang bukan saya sahaja, tapi boleh dikatakan kesemua peserta memang besar. Ia seperti followers di media sosial bertambah.
Sekarang ini nama Aisha Retno sudah semakin dikenali dan bakat saya diketahui. Tidak cukup rasanya untuk berterima kasih kepada Big Stage 2022 yang telah memberi saya peluang untuk berkarya dalam industri muzik Malaysia.
GEMPAK: Kenapa kalian masuk pertandingan?
ELICA: Sejujurnya pada awal, saya memang tiada hati untuk masuk Big Stage 2022 kerana saya mahu memberi fokus menghabiskan pengajian saya dalam bidang muzik di Sabah. Ia sepatutnya berbaki setahun lagi. Tapi saya telah berehat tiga bulan untuk Big Stage 2022.
Tapi kemudian apabila Astro lamar, saya memang ambil masa yang lama untuk bersetuju. Saya banyak tanya kepada keluarga dan orang terdekat adakah saya patut sertai Big Stage 2022 atau habiskan belajar, tapi banyak yang bagi dorongan untuk saya kembali aktif dalam industri.
AISHA: Saya sebenarnya bukan seorang yang begitu gemar masuk pertandingan. Tapi sewaktu awal berkecimpung dalam industri, saya memang sangat ingin sertai Big Stage 2022. Tapi waktu itu saya tidak memiliki kriteria seperti mempunyai lebih 500 ribu pengikut atau views di media sosial. Namun selepas kriteria tersebut telah tercapai, saya sertai Big Stage 2022, saya pamerkan semua bakat yang ada.
Mengenai menang pula, tentu saya pun ada letak sasaran, tapi saya lebih mahu enjoy the show. Sebab itu dari awal pertandingan saya tak ada strategi untuk panaskan enjin dahulu misalnya, tapi saya terus all out. Namun, saya tidak boleh menentukan minat orang atau pemarkahan. Saya cuma macam nak buat konsert sahaja sampai minggu ke lapan.
GEMPAK: Bila Elica diumumkan sebagai juara semuanya sudah berubah. Apa yang paling stress di Big Stage 2022 dan bagaimana anda menjalaninya?
ELICA: Saya mengalami perubahan yang sangat ketara selepas masuk Big Stage. Jika dahulu mungkin ada yang bertanya, ‘Elica? Siapa Elica?’ Tapi lepas Big Stage ramai mula perasan saya mempunyai bakat yang besar. Big Stage juga membantu highlight bakat saya.
Dan tentulah hal yang paling stress adalah untuk memenuhi ekspektasi orang kerana bila mereka tahu saya sertai program ini, ekspektasi yang diletakkan kepada saya tinggi atau saya mesti ke final atau menang. Kemudian komen dari netizen yang membandingkan saya dengan peserta lain itu juga memberi tekanan buat saya.
GEMPAK: Bila anda tak menang, bagaimana kawal emosi?
AISHA: Saya berpegang pada niat asal untuk serlahkan bakat dan menang itu bonus. Jadi bila orang taruh harapan, saya hargai. Walaupun tak menang, saya tahu telah meninggalkan impak yang besar kepada semua.
Jadi tentang emosi, ia bukan soal semasa sudah graduasi. Sebenarnya emosi yang paling saya jaga adalah dari segi kecaman warganet. Saya juga masih baru dalam industri mungkin ada yang belum kenal saya. Jadi ada yang terkejut melihat aksi saya. Dan ada yang mengeluarkan kata-kata yang kurang enak. Jadi ini adalah cabaran bagaimana saya kawal emosi daripada keyboard warriors. Saya juga percaya pada rezeki, jadi di sinilah yang membuat emosi saya terkawal. Just have fun.
GEMPAK: Minggu paling marah baca komen yang kalian rasa keterlaluan diberikan netizen?
ELICA: Tak silap saya sewaktu minggu keenam, sewaktu saya membawakan lagu dengan genre dangdut. Dari sana saya boleh nampak siapa yang sebenarnya menyokong saya dan biasa saja. Tapi ini juga minggu paling teruk buat saya kerana saya terus terus ke bottom three.
AISHA: Saya sebenarnya cuba untuk tidak membaca apa pun komen tentang saya di media sosial. Namun saya juga manusia biasa punya nafsu, jadi keinginan untuk tahu itu tinggi. Apalagi sebagai penyanyi, ambil tahu feed back dan analisa amat penting. Penting untuk saya tahu khalayak terhibur atau tidak kerana jika tidak terhibur, pasti ada yang tidak kena. Ada beberapa minggu saya memang baca. Bila saya fokus pada kecaman, memang ada rasa down, tapi daripada situ saya ajar diri saya bahawa inilah permulaan atau proses menjadi artis. Semua artis A list juga telah melalui hal-hal sebegini. Jadi saya layan saja.
GEMPAK: Bagaimana anda boleh bermula dalam bidang seni?
AISHA: Saya memang minat bidang seni walaupun tidak pernah mendapat pendidikan formal. Saya juga boleh bermain instrumen piano dan tanpa sedar saya juga boleh menulis lirik.
Ini juga seperti rezeki kerana ada mengalir darah ibu yang merupakan penyanyi dan guru vokal yang punya pengalaman. Jadi banyak saya merujuk kepada beliau.
GEMPAK: Elica Paujin sebenarnya bukan penyanyi baharu. Tapi kata orang kadang bakat tanpa keberuntungan pun membuatkan nama kita tercicir dalam bidang seni yang penuh cabaran ini. Bagaimana anda melihat situasi itu dengan nasib anda?
ELICA: Kalau bagi saya, mungkin rezeki saya belum lagi sampai. Saya hanya fokus kepada kehidupan saya. Jika rezeki saya sampai, akan ada punya. Mindset saya begitu. Tapi saya sedar saya juga perlu kerja lebih keras.
SUASANA RAMADAN
GEMPAK: Aisha, anda lahir dalam keluarga campur Indonesia dan Malaysia. Apakah juadah yang biasanya ada pada bulan Ramadan dan Aidilfitri di kediaman anda?
AISHA: Masakan Indonesia saya paling suka, dan mesti pedas. Jadi dari segi makanan, culture dan di rumah kami juga berbahasa Indonesia. Biasanya juadah berbuka puasa ibu akan masak Ayam Penyet atau Bakso. Jika untuk sahur biasanya ringkas, ada nasi telur dan sambal belacan adalah wajib.
Untuk Aidilfitri pula akan ada rendang, gulai dan ketupat. Ibu saya orang Indonesia jadi beliau akan sediakan juadah Indonesia, tapi ayah saya berasal dari Kelantan. Jadi nasi dagang, budu itu wajib juga ada.
GEMPAK: Anda pernah ada pengalaman puasa di Indonesia?
AISHA: Pernah beberapa tahun berpuasa di Indonesia, ada tradisi kejut sahur. Tapi saya juga hargai dan suka momen berpuasa di sini. Boleh saya kata dua dua negara ini membuatkan saya seronok melalui Ramadan.
GEMPAK: Bagaimana perbezaan melalui fasa sebelum pandemik, pandemik dan kini endemik untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri?
AISHA: Momen sebelum pandemik kita tahu memang lebih ceria boleh tarawih atau pergi bazar Ramadan tanpa SOP. Boleh bebas iftar sama-sama. Saya rasa pandemik tahun lalu juga agak terkesan buat kami kerana ramai ahli keluarga tidak dapat berkumpul.
Alhamdulillah, saya punya jadual bekerja tahun ini agak penuh dan saya bersyukur. Masuk era endemik ini pun membolehkan kita pergi ke bazar dan beraktiviti di bulan Ramadan.
GEMPAK: Elica pula bagaimana anda melihat suasana Ramadan di Sabah?
ELICA: Sejujurnya di kawasan kampung atau daerah saya tidak banyak masyarakat Islam. Namun, apa yang saya nampak dan bergaul dengan rakan-rakan Muslim, sambutan Ramadan itu agak sama dengan di Semenanjung termasuk saling bertukar juadah.
Di Sabah kita ada banyak budaya dan bangsa. Macam saya non-Muslim pun saya teruja bila tiba Ramadan. Saya seronok pergi ke bazar. Biasanya saya cari cendol dan martabak. Ada juga Roti John dan ayam panggang.
GEMPAK: Selalu menziarah rakan pada bulan Ramadan atau Aidilfitri?
ELICA: Sebenarnya keluarga saya juga banyak yang peluk agama Islam. Boleh saya katakan seimbang di antara non-Muslim dan Muslim dari keluarga sebelah ayah dan ibu saya. Misalnya jika Ramadan kami diajak makan bersama sewaktu berbuka atau menziarah sewaktu Aidilfitri. Jadi merasakan suasana puasa dan meraikan raya itu sudah biasa buat saya dan keluarga.
EKSOTIK & BODY SHAMING
GEMPAK: Cantik itu subjektif atau universal. Kalian boleh masuk dalam kategori wanita dengan kecantikan eksotik atau wajah orang Sabah yang unik?
ELICA: Tidak semestinya cantik dari segi muka. Tapi ia mesti dari dalaman juga. Mungkin kecantikan orang Sabah ini akan nampak macam muka Cina, tapi bukan Cina. Tapi bagi saya kecantikan orang Sabah ini unik kerana ada banyak bangsa macam dari Kadazan, Bidayuh misalnya.
Tapi buat saya, saya memang memandang mata. Mata main peranan dalam definisi cantik saya.
ELICA: Sampai sekarang saya masih kena body shaming. Pada saya masa saya pernah naik berat badan. Dan sekarang sudah turun. Tapi sewaktu badan saya naik dipersoalkan dan apabila berat badan di bawah 50 kilogram sekarang ini pun saya kena body shaming.
Sejujurnya, saya juga seram lihat badan sendiri kerana rasa terlalu kurus.
AISHA: Semua orang Allah sudah lahirkan dengan fizikal masing-masing. Saya tidak memberi spesifikasi cantik perlu putih atau kurus misalnya. Tapi untuk kecantikan dan body shaming terutama di media sosial, kita kena tanamkan diri bahawa cantik itu datang dari dalam.
Saya juga pernah kena body shaming kerana saya kurus dan digelar papan. Tapi saya tak ambil serius, saya anggap ia jenaka dari budak-budak lelaki masa bersekolah. Kita tak tahu misalnya kita gempal, ia juga akan membawa manfaat dalam pekerjaan, jadi tak perlu tergopoh nak lakukan plastic surgery. Enjoy life. Apa yang penting sihat. Sihat luar dan dalaman. Ini sangat penting. Inilah definisi cantik bagi saya.
*** Untuk pelanggan Astro, anda boleh dapatkan 20% diskaun koleksi raya Hatta Dolmat seperti yang digayakan oleh Asha Retno & Elica Paujin dalam fotografi G The Untold Story kali ini. Layari https://rewards.astro.com.my/details/hattadolmatapr22

#Ramadan #Cover #Eksklusif #Aisha Retno #Elica Paujin #G The Untold Story
;