Covid-19
"Ada Nak Beli Gaun PPE Untuk Pakai Pergi Supermarket" - Dahulukan Frontliner, Jovian Mandagie Tak Kaut Untung
Keunikan dan eksklusiviti gaun PPE rekaan Jovian Mandagie menarik minat orang ramai untuk memilikinya.
Malah, gaun PPE Jovian juga setanding rekaan jenama antarabangsa Louis Vuitton yang dikeluarkan seminggu selepas Jovian.
Namun, hal yang perlu diutamakan adalah objektif Jovian untuk mendermakan 10,000 unit gaun PPE kepada frontliner yang berjuang menyelamatkan nyawa.
Baru-baru ini, Jovian meluahkan rasa kesal terhadap tuduhan segelintir pihak yang mendakwa dia cuba meraih keuntungan menerusi jualan gaun PPE yang dihasilkannya sejak minggu lepas.
"Ada dakwaan mengatakan pembantu jualan saya memberikan sebut harga pakaian PPE saya.
"Ya, saya terima tempahan PPE untuk permintaan peribadi juga. Siapa mereka?
"Ahli farmasi, dialisis, doktor peribadi dan ada orang awam yang membeli PPE saya untuk kegunaan harian seperti ke supermarket dan sebagainya," katanya.
Jelas Jovian, pihaknya tidak mengambil untung atas penjualan gaun PPE kepada pihak yang betul-betul memerlukan.
"Secara logiknya, takkanlah saya nak dermakan semua orang satu Malaysia. Saya beli secara terus dari pembekal dan jual kepada mereka dengan harga kos.
"Dengan kata lain saya hanya orang tengah yang cuba membantu membekalkan PPE yang tak ada di Malaysia ni, tak ambil untung pun 1 sen. Niat hanya nak membantu.
"Harga PPE di China sekitar RM38, harga yang saya jual adalah RM40 termasuk caj penghantaran dan pemprosesan.
"Sudah tentu prioriti saya frontliners. Saya tak terdetik pun nak kaut duit daripada derma orang ramai. Tidak!
"Malah, tiada satu pun hospital yang diminta untuk membayar harga PPE saya," jelas Jovian.
Ekoran itu, Jovian berhasrat untuk menghentikan tabung derma yang dibukanya untuk orang ramai menyalurkan bantuan kewangan untuk membekalkan gaun PPE kepada frontliner.
"Niat nak tolong tapi kena fitnah pula. Saya akan hentikan projek kutipan derma dan akan memulangkan semua duit yang sudah dikutip.
"Kemudian saya akan menghubungi semua hospital yang sudah saya berjanji untuk menghantarkan gaun PPE untuk pembatalan.
"Tetapi, jika anda mempercayai saya, saya akan pastikan sebanyak 10,000 gaun PPE ini akan dihantar kepada hospital yang memerlukan dalam tempoh 30 hari," tambah Jovian.
Situasi itu mendapat perhatian rakan selebriti termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nora Danish dan Umie Aida.
"Teruskan niat murni kerana Allah, jangan mengalah. Stay strong," tulis Siti.
"Dalam hidup ayat yang kita kena pegang ialah sabar maka adikku bersabarlah. Bila kita nak buat baik pasti ada ujian," tulis Umie.
"Teruskan J, niat you baik. Campak tong sampah orang yang fikir macam sampah," tambah Nina Juren.
Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Must-Watch Video