Covid-19
“Pakai Baju Kelawar Isteri, Kayuh Basikal Dalam Rumah, Ucapan Saya Jadi Lagu…” – PM Tahu Ada Remix 'Ke Sana Ke Sini'!
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin sempat berseloroh dalam ucapannya petang tadi mengenai kepelbagaian aktiviti dilakukan rakyat untuk menghilangkan rasa bosan duduk di rumah.
Muhyiddin turut menyedari pesanannya supaya tidak 'ke sana dan ke sini' dalam Perutusan Khas telah diremix dan dijadikan lagu berentak rap.
“Saudara saudari yang saya kasihi sekalian, saya tahu setelah tiga minggu berkurung di rumah, mungkin ada di antara saudara saudari yang rasa agak terbeban dengan dugaan dan ujian tuhan ini.
“Selama tiga minggu ini kita terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang biasa kita buat. Kita tinggalkan hobi kita, kita tinggalkan pekerjaan kita, kita rindukan kawan-kawan dan keluarga yang berjauhan. Pendek kata kehidupan kita ini amat berbeza.
“Saya lihat di media sosial, ada suami yang mula memakai baju kelawar isteri, agak luar biasa. Ada yang mengayuh basikal dalam rumah. Ada juga yang mengubah ucapan saya menjadi lagu rap.
“Saya harap ini bukanlah kejadian pelik, ataupun buang tabiat kata orang. Ini adalah sebahagian daripada kreativiti anda semua untuk menghilangkan rasa bosan duduk di rumah
“Yang penting saya fikir saudara-saudari mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi dugaan dan ujian ini.
“Dan saya yakin Tuhan tidaklah menguji atau membebani kita dengan sesuatu yang tidak boleh kita tanggung,” kata Muhyiddin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) PKS Tambahan bernilai RM10 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Perdana Menteri berkata, pakej rangsangan tambahan itu dijangka mampu meringankan beban usahawan PKS.
“Di pihak kerajaan ,kita cuba membantu sebaik mungkin dan sebab itu saya ingin mengumumkan pakej tambahan RM10 billion,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas yang berlangsung pada petang Isnin di Putrajaya.