Covid-19

Tiada Keperluan Rendam, Basuh Bahan Makanan Dengan Sabun, Sebaliknya Lakukan 4 Langkah Ini

Mya Amri
14/04/2020
04:33 MYT
Sponsor Banner
Tiada Keperluan Rendam, Basuh Bahan Makanan Dengan Sabun, Sebaliknya Lakukan 4 Langkah Ini
Proses nyah cemar terhadap pembungkusan makanan yang dibeli di pasaraya atau secara atas talian merupakan antara perkara yang menjadi perbualan dan perkongisan ramai terutamanya media sosial, lapor Awani.
Terdapat beberapa video dan gambar yang menyaksikan gelagat orang kita dalam ‘mengekang’ penyebaran COVID-19 melalui pembungkusan makanan kononnya.
Pelbagai nasihat turut diberikan kepada orang awam untuk dipraktikkan antaranya dengan meninggalkan bahan makanan yang baru dibeli di dalam kereta atau luar rumah selama lapan jam sehingga tiga hari.
Ada yang nasihatkan agar semua barang makanan tersebut perlu dinyah cemar menggunakan bahan nyah kuman seperti alkohol dan ‘hand sanitizer’.
Dan lebih berat lagi apabila ada yang menyarankan agar semua bahan makanan yang baru dibeli direndam dan dibasuh dengan sabun antibakteria atau sabun cuci pinggan.
Persoalannya, apakah perlu untuk melakukan semua itu terhadap barang makanan yang baru dibeli?
Jawapannya ialah TIADA KEPERLUAN dan tindakan sedemikian adalah keterlaluan kerana mungkin boleh menyebabkan masalah lain seperti keracunan makanan atau keracunan bahan kimia yang digunakan.
Hal ini adalah berdasarkan beberapa fakta dan laporan yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (World Health Organisation - WHO) sebelum ini berkaitan cara virus ini disebarkan iaitu melalui titisan cecair atau 'droplet' yang terhasil daripada percikan air liur ketika bercakap, batuk atau bersin.
Malahan berdasarkan Garis Panduan Interim (Interim Guidance) yang dikeluarkan oleh WHO dan Pertubuhan Pertanian dan Makanan (FAO) berkaitan COVID-19 dan Keselamatan Makanan yang terkini bertarikh 7 April 2020, adalah sangat tidak mungkin untuk seseorang mendapat jangkitan COVID-19 dari makanan atau pembungkusan makanan.
Sehingga kini, tiada sebarang jangkitan yang direkodkan dan tiada bukti ianya boleh disebarkan melalui pembungkus makanan, apatah lagi makanan itu sendiri.
Bahkan COVID-19 tidak boleh membiak dalam makanan, sebaliknya ia memerlukan haiwan atau manusia sebagai perumah untuk membiak.
Menurut Dr. Maria Van Kerkhove, Ketua Teknikal COVID-19 WHO, tidak perlu untuk nyah cemar bahan makanan atau pembungkusan makanan, sebaliknya makanan seperti buah-buahan atau sayur-sayuran hanya perlu dicuci seperti selalu dengan menggunakan air yang bersih.
Sekalipun WHO menyatakan bahawa terdapat kemungkinan virus ini boleh tersebar pada permukaan seperti ‘stainless steel’, objek seperti tombol pintu, atau berjabat tangan orang yang dijangkiti, namun ia dapat diatasi dengan mencuci tangan menggunakan sabun sekerap mungkin dan elakkan dari menyentuh mulut, hidung, atau mata.
Manakala pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (US Food and Drug Administration - USFDA) yang sependapat dengan WHO dalam isu yang sama mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan 4 langkah utama dalam keselamatan makanan iaitu :
1- Cuci tangan, peralatan dan permukaan bersentuhan makanan dengan kerap supaya sentiasa dalam keadaan yang bersih:
a. cuci tangan dengan sabun dan air yang bersih sekurang-kurangnya 20 saat
b. cuci tangan selepas mengendalikan pembungkusan makanan, selepas mengeluarkan makanan dari bungkusan, sebelum menyediakan makanan untuk makan dan sebelum makan
c. cuci peralatan memasak dan permukaan yang bersentuhan dengan makanan setiap kali selepas selesai menggunakannya
d. cuci bahan makanan dengan air yang bersih yang mengalir tanpa menggunakan sabun, bahan peluntur atau bahan pencuci komersial
2- Asingkan bahan makanan bagi mengelakkan pencemaran silang :
a. asingkan bahan mentah mengikut jenis seperti daging, ayam dan makanan laut dalam bungkusan yang berbeza
b. asingkan bahan mentah dengan bahan yang telah siap dimasak
c. simpan makanan dalam bekas yang bertutup pada suhu yang sesuai
3- Masak pada suhu yang betul :
a. masak daging pada suhu 70˚C ke atas bagi membunuh bakteria berbahaya
b. masak makanan berkuah seperti sup pada suhu didih (100˚C)
c. makanan panas hendaklah disimpan pada suhu 63˚C
4- Sejuk dingin dan sejuk beku makanan dengan betul :
a. suhu sejuk dingin (chiller) ialah antara 2 – 4˚C
b. suhu sejuk beku (freezer) ialah -18˚C dan ke bawah
c. tidak menyimpan makanan terlalu padat dalam peti ais supaya tidak mengganggu aliran udara sejuk
d. nyahbeku makanan dengan kaedah yang betul dan selamat
Semoga penerangan ini dapat memberi serba sedikit mengenai pengetahuan dan tatacara yang boleh dilakukan berkaitan keselamatan makanan dalam saat kita menghadapi wabak COVID-19 ini.
Sentiasa dapatkan maklumat yang tepat dari sumber yang sahih serta diperakui, dan elakkan dari mengikut nasihat dari sumber yang tidak pasti bagi mengelakkan kemudaratan pada keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga.
Sumber: Astro Awani
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar