Covid-19
“Warkah Untuk Abah” – YouTuber Indonesia Menangis Dedikasikan Sajak Buat Perdana Menteri Malaysia
Seorang YouTuber Indonesia dikenali sebagai Vikry telah mendeklamasikan sajak buat Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi video yang dimuat naik di saluran YouTube Kreativi Indonesia itu, Vikry telah membacakan sajak yang ditulis oleh kakaknya.
“Warkah untuk Abah ini saya tujukan buat Perdana Menteri Malaysia kelapan yang sangat disayangi rakyatnya.
“Saya berasa seperti ada hubungan dengan beliau dan menganggap beliau seperti Ayah selepas melihat beliau beberapa bulan kebelakangan ini.
“Setiap kali beliau memberikan ucapan, saya akan mengaminkan apa yang diucapkan itu,” katanya.
Menerusi sajak dibaca Vikry, dia memuji kredibiliti Perdana Menteri dalam menangani pandemik COVID-19 di Malaysia.
Apatah lagi Perdana Menteri merupakan seorang pejuang kanser yang dilihat lebih mengutamakan rakyat berbanding kesihatan dirinya sendiri.
Pengorbanan Perdana Menteri itu telah menyebabkan Vikry mengalirkan air mata ketika membaca Warkah Untuk Abah.
Vikry juga berharap Indonesia turut mempunyai ‘Abah’ seperti Muhyiddin.
"Saya kagum dengan kasih sayang yang ditunjukkan 'Abah' kepada rakyat Malaysia. Betapa beruntungnya rakyat Malaysia memiliki pemimpin seperti 'Abah'.
"Terima kasih 'Abah' kerana menjadi sumber inspirasi saya dan teman-teman di Indonesia. Tidak mudah menjadi seorang 'Abah'," katanya sebak.
Sementara itu di ruangan komen, rata-rata yang telah menonton bersetuju dengan apa yang dibacakan Vikry.
Sejak dimuatnaik pada dua hari lalu, Warkah Untuk Abah sudah ditonton sebanyak 62,003 kali, ketika artikel ini ditulis.