Tempatan
5 Cara Ini Untuk Selamatkan Transmisi Automatik Kenderaan Anda
Erywan
18/06/2021
|
07:15 MYT
Pemilihan kenderaan transmisi automatik nampaknya mendominasi pasaran kereta bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global.
Kalau lihat pasaran Malaysia, lebih 90 peratus kenderaan menggunakan kotak gear itu kerana ia lebih senang digunakan selain mudah difahami.
Masuk saja gear ‘D’, anda boleh terus memandunya berbanding gear manual yang perlu menekan pedal klac sebelum memulakan pemanduan. Lebih memenatkan, apabila berdepan laluan sesak lebih-lebih lagi dengan menggunakan gear manual.
Namun oleh kerana transmisi automatik lebih kompleks dan mempunyai lebih banyak komponen berbanding transmisi manual, ia memerlukan penjagaan yang baik bagi mengelakkan kerosakan yang boleh menyebabkan poket anda berlubang.
Di sini kami kongsikan empat tips mudah penjagaan transmisi automatik agar lebih tahan lama.
1.Tukar minyak pelincir gear mengikut jadual
Selain minyak enjin, anda juga seharusnya memberi perhatian terhadap minyak transmisi automatik atau juga dikenali sebagai Automatic Transmission Fluid (ATF). Ia sepatutnya ditukar setiap 30,000 hingga 50,000km atau setiap tiga bulan sekali. Pastikan pelincir yang dipilih sesuai untuk kereta anda.
2.Gunakan gear yang sesuai
Seperti yang dikatakan, transmisi automatik mudah untuk difahami. P bermaksud ‘parking’, R adalah gear ‘reverse’ atau undur, N merujuk kepada gear neutral manakala D pula bermaksud ‘drive’. Masukkan gear ke kedudukan N apabila berhenti di lampu merah yang lama atau ketika ditunda.
3.Jangan gopoh menukar gear
Ramai di antara kita yang kurang sabar dan selalu menukar gear sebelum kenderaan berhenti sepenuhnya. Perbuatan ini boleh mendatangkan tekanan berlebihan terhadap transmisi dan lama kelamaan boleh merosakkan komponen tersebut.
4.Elakkan menekan pedal minyak secara agresif
Hal ini perlu dielakkan lebih-lebih lagi ketika kereta baru mula bergerak kerana ia mampu mendatangkan kerosakan kepada injap solenoid.
5.Panaskan enjin sebelum memandu
Jangan memandu ketika enjin masih belum berada pada suhu operasi yang ideal. Hal ini mungkin kedengaran reme, tetapi ia mampu memanjangkan jangka hayat enjin dan transmisi kereta anda. Biasakan diri untuk memanaskan enjin selama beberapa minit dengan gear pada kedudukan neutral sebelum memulakan perjalanan.