Tempatan
8 Model Kereta Edisi Terhad Bina Kurang 10 unit
Rata-rata penggemar automotif kaya-raya mahu sanggup berbelanja besar demi untuk memiliki model eksklusif, lebih-lebih lagi edisi terhad.
Penggemar yang juga pengumpul kenderaan sebegini melihat jentera edisi terhad sebagai satu kepuasan selain pelaburan menguntungkan dengan nilai jualan semula.
Ada sebilangan pengeluar automotif muncul dengan unit edisi terhad eksklusif dan ini adalah senarai kereta yang dibina kurang daripada 10 unit di seluruh dunia.
1. Bugatti La Voiture Noire
Dinobatkan sebagai kereta paling mahal dunia atas jalan, jentera dengan hanya satu unit dibina ini dipertontonkan pada Pameran Motor Geneva 2019. Statusnya dikatakan sebagai prototaip tetapi boleh dipandu seperti mana-mana kenderaan.
Jentera ini dipasang enjin 8.0 liter empat turbo W16 bersama transmisi tujuh kelajuan. Ia mampu menjana kuasa 1,500hp dengan tork maksimum 1,600Nm. Harganya 11 juta Euro.
2. Ferrari J50
Jentera ini dibina untuk meraikan ulang tahun ke-50 Ferrari di Jepun dan hanya 10 unit dibina. Ia dibangunkan daripada model 488 Spider yang dilengkapi enjin V8 turbo dengan janaan kuasa 690hp. Lebih 20hp berbanding 488 Spider standard.
Reka bentuknya lebih menarik dan tajam. Tidak hairanlah jika semua model sudah ditempah sebelum pelancarannya. Harga tidak didedahkan tetapi ada laporan mengatakan ia antara AS$2.26 juta hingga AS$3.39 juta berbanding pada modelnya.
3. Koenigsegg CCXR Trevita
Ada dua unit kereta Koenigsegg CCXR Trevita dibina dan badannya diperbuat menggunakan karbon sepenuhnya. Jentera ini menggunakan enjin Koenigsegg aluminium V8 4.8 liter dengan empat injap setiap silinder. Ia berkapasiti 4,800cc dengan nisbah mampatan 9.2:1.
Jentera ini mampu menjana kuasa 1,018bhp dengan tork puncak 1,080Nm. Harganya disebut-sebut sebagai AS$4.8 juta.
4. Lamborghini SC18
Model Lamborghini SC18 ini lahir daripada Aventador dan hanya satu unit sahaja dibina secara kustom. Jentera ini untuk kegunaan litar tetapi sah dan dibenarkan untuk anda pandu di atas jalan raya biasa.
Kereta ini nampaknya ada mewarisi elemen daripada Huracan GT3 EVO dam Super Trofeo EVO. Dipasang dengan enjin 6.5 liter V12 aspirasi biasa, ia mampu menghamburkan kuasa770hp dengan kuasa kilas 720Nm.
Harganya tidak didedahkan, namun ada menyebut nilainya hampir AS$5 juta. Lamborghini dikatakan cuma kunci mulut berhubung harganya.
5. Lamborghini Veneno
Nampaknya Veneno sama seperti SC18 iaitu dibangunkan daripada Aventador. Ada tiga unit coupe dibina dan 9 unit versi Roadster. Enjinnya jenis V12 aspirasi biasa berkapasiti 6,498cc. Kotak gearnya tujuh kelajuan.
Ia mampu menjana kuasa 750CV dengan tork maksimum 690Nm. Statusnya emisinya Euro 6. Ada seunit dijual dengan harga 8 juta Euro di Jerman.
6. Pagani Zonda Cinque
Zonda Cinque ada dua varian iaitu coupe dan roadster. Setiap satu dibina dengan lima unit.
Hypercar ini menggunakan enjin 7.3 liter V12 dengan kotak gear enam kelajuan sequential yang menjana kuasa 669hp dengan tork 780Nm. Jentera ini dijual pada harga permulaan serendah 1.3 juta Euro dan itu belum kira cukai.
7. Lamborghini Aventador Jota
Lamborghini ini juga dikenali sebagai Aventador J dan adalah satu-satunya unit dalam dunia. Ia dipasang enjin 6.5 liter V12 yang menjana kuasa tidak kurang 700hp.
Menariknya ialah ia boleh mencapai kelajuan maksimum lebih 300km sejam tanpa memerlukan bumbung. Sebelum terlupa, kereta ini juga tiada cermin hadapan. Harganya dikatakan kira-kira AS$2.8 juta.
8. McLaren F1 LM
Baru-baru ini, ada seunit McLaren F1 LM dengan ruangan enjin diperbuat daripada emas dijangka mampu dijual pada harga 19 juta pound.
Jentera yang dihasilkan dengan hanya lima unit ini menggunakan enjin 6.1 liter BMW S70/2 V12 dengan transmisi manual 6 kelajuan. Ia berupaya menghasilkan 680hp dengan tork 705Nm. Kelajuan maksimum dikatakan 362km/j.