Antarabangsa
Abarth umum dua model Khas 595, Versi Monster Energy Yamaha Dan Scorpioneoro
Abarth mengumumkan ketibaan dua model 595 edisi khas untuk peminat setia Valentino Rossi dan juga kelompok pemandu yang dahagakan varian kompak dua pintu gaya mewah. Dua model itu dipanggil Abarth 595 Scorpioneoro dan Abarth 595 Monster Energy Yamaha.
Abarth 595 Scorpioneoro
Model ini diselubungi tona hitam dengan beberapa kemasan berwarna emas pada bahagian luar badan. Rim 17 inci aloi Scorpioneoro juga berwarna emas.
Scorpioneoro bermaksud kala jengking emas dan identiti serangga berbisa ini dipampang di atas bonet depan serta pada bahagian tengah rim Abarth 595.
Bumbung model ini memaparkan hiasan seakan papan catur berwarna hitam kusam. Pemegang pintu dan perumah cermin pandang sisi pula diberi salutan warna kelabu. Ruang dalaman Abarth ini dilengkapi dua kerusi sport dengan balutan material kulit berwarna hitam.
Bahagian perehat kepala ada sulaman benang emas Scorpioneoro dan Abarth (benang hitam) beserta tiga jalur warna melambangkan bendera Itali, tempat kelahiran jenama kereta ini.
Di bahagian belakang tombol gear, ada satu plet warna emas yang menandakan model ini edisi khas beserta nombor sirinya. Hanya 2,000 unit kereta ini akan dihasilkan.
Scorpioneoro didatangkan bersama sistem infotainmen skrin sentuh berukuran 7 inci dengan sambungan Apple CarPlay, Android Auto dan sistem bunyi Beats Audio.
Enjin digunakan ialah jenis petrol 1.4 liter turbo yang menghasilkan output maksimum 163bhp. Pecutan ke 100 kilometer sejam ialah 7.3 saat. Harga: £22,345 (RM123,255)
Abarth 595 Monster Energy Yamaha
Model ini lebih murah berbanding versi kala jengking emas iaitu cuma £21,590 (RM119,080). Bilangan yang dihasilkan juga 2,000 unit dan berkongsi enjin sama seperti Abarth 595 Scorpioneoro.
Abarth 595 mendapat ilham gaya daripada superbike pasukan Monster Energy Yamaha di MotoGP. Motosikal yang dimaksudkan sudah semestinya Monster Energy Yamaha YZR-M1.
Kereta edisi istimewa ini adalah hasil kerjasama kelima antara Abarth dan Yamaha di Jepun. Secara jujur kereta ini nampak macam kenderaan yang diubah suai oleh milik seseorang fanatik Rossi. Sememangnya cantik.
Model ini didatangkan dengan kombinasi warna badan biru dan hitam dengan liveri seperti Monster Energy Yamaha MotoGP termasuk logo pada bahagian sisi kereta. Pemegang pintu dan bampar menerima sentuhan warna kelabu. Bonet kereta ini ada kesan cakaran raksasa, Monster Energy.
Ruang kabin menyaksikan pengunaan dua tempat duduk sport berwarna biru dengan logo sulaman Monster Energy Yamaha MotoGP di bahagian tengah perehat kepala.
Papan pemuka menunjukkan sedikit padanan dengan penggunaan benang warna biru. Sama seperti model kala jengking emas, setiap kereta khas ini ada plet nombor siri di antara kedua-dua kerusi barisan depan.
Stereng roda kereta ini bukan berbentuk bulatan lengkap tetapi mendatar pada bahagian bawah. Ada juga ciri butang sport dan ekzos Record. Khabarnya, sistem brek juga ditingkatkan untuk model khas ini dan sistem suspensi membabitkan jenama Koni. Kedua-dua kereta ini boleh ditempah bermula hari ini.