Tempatan

Ada 25 buah Trak Tunda Mercedes-Benz Sprinter Petronas Edition

Erywan
20/05/2021
04:11 MYT
Sponsor Banner
Ada 25 buah Trak Tunda Mercedes-Benz Sprinter Petronas Edition
Jenama Mercedes-Benz Sprinter sudah melangkaui usia 25 tahun dalam segmen van global, satu siri diperkenalkan pada 1995 sebagai produk pengganti TN.
Bagi menyambut Jubli Perak van Sprinter, sebuah syarikat pembuat badan kenderaan popular Poland iaitu Kegger tampil dengan satu kejutan luar biasa. Mereka mengubah van Sprinter menjadi trak tunda edisi khas.
Perlu diingatkan bahawa trak tunda ini bukan satu produk keluaran rasmi Mercedes-AMG tetapi binaan Kegger. Hanya 25 unit akan dihasilkan iaitu mendatang 25 tahun kehadiran Mercedes-Benz Sprinter dipasaran.
Van berbentuk trak tunda itu dinamakan Sprinter Petronas Edition dengan hiasan badan yang diinspirasikan daripada jentera lumba Formula Satu (F1). Varian Sprinter yang digunakan ialah 319 CDI.
Mercedes-Benz Sprinter 319 CDI ialah van paling berkuasa di Eropah dan menggunakan enjin 3.0 liter V6 turbo untuk mengekstrak 190 kuasa kuda dan tork sekuat 440Nm.
Kuasa dari enjin dihantar ke roda belakang dengan bantuan sistem transmisi tujuh kelajuan automatik. Ini adalah antara beberapa trak tunda yang dipasang sistem suspensi angin.
Transformasi luaran membabitkan penggunaan set bampar depan baharu dengan ruang kemasukan angin lebih besar dan ada tambahan bilah spoiler di bawahnya.
Gril radiator diwarnakan hitam dan rim aloi tona sama berukuran 18 inci dipasang pada Sprinter ini. Roda trak tunda ini ada hiasan garisan biru halus sebagai warna kontra badan serta menambah baik imej keseluruhan Sprinter Petronas Edition.
Ruang kabin pula agak berbeza dengan mana-mana trak tunda konvensional. Aspek keselesaan ditambah baik dan material jenis Alcantara digunakan secara ekstensif untuk mendominasi ruangan kabin. Jahitan benang hijau pula jelas kelihatan pada papan pemuka, panel pintu dan tempat duduk.
Penebat bunyi tambahan turut diberikan selepas selesai menaik taraf sistem audio traknya. Sebagai sebuah trak tunda, bahagian belakangnya mendatar (flatbed) dan memiliki dua tanjak (ramp) untuk menaikkan kenderaan rosak ke atasnya. Selain itu, ada ruang simpanan besar dan beberapa peralatan yang diperlukan untuk kerja-kerja menunda kereta rosak. Kegger menjual trak ini pada harga €125,000 (RM608,550).
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar