Antarabangsa

Agera RS Refinement, Versi Naik Taraf Sentuhan Khidmat Divisyen ‘Aftermarket’ Koenigsegg

Erywan
31/12/2020
05:45 MYT
Sponsor Banner
Agera RS Refinement, Versi Naik Taraf Sentuhan Khidmat Divisyen ‘Aftermarket’ Koenigsegg
Satu daripada kelebihan menjadi pelanggan jenama eksotik seperti Koenigsegg adalah anda akan dilayan seperti anak emas dan mereka akan melakukan sebaik mungkin bagi memastikan permintaan anda tertunai.
Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana mereka yang mampu memiliki hypercar buatan Sweden itu bukanlah calang-calang individu.
Pada penghujung tahun lalu, seorang pemilik Agera RS mendapatkan khidmat divisyen ‘aftermarket’ Koenigsegg untuk menaik taraf jentera milik beliau dengan lubang udara pada bahagian hud seperti yang terdapat pada One:1.
Menariknya, para jurutera syarikat itu sempat mencadangkan beberapa modifikasi lain bagi melengkapkan naik taraf itu. Projek yang diberi nama ‘Refinement’ ini akhirnya siap dalam masa enam bulan, iaitu lima bulan lebih lewat daripada jangkaan awal.
Selain lubang udara terbabit, jentera itu juga mendapat hud baharu serta ‘winglet’ tambahan pada bampar hadapan bagi membolehkan ia membelah udara dengan lebih efektif.
Di belakang,terdapat skup udara baharu yang dipasang pada panel penutup enjin manakala spoiler asal yang digerakkan oleh spring digantikan dengan spoiler aktif yang dikawal dengan perisiannya yang tersendiri.
Kemasan hitam ‘Jet Black’ pula dikenakan pada komponen-komponen tertentu termasuk lencana dan muncung ekzos untuk memberikan kontras kepada warna merah yang dipakainya. Tidak cukup dengan itu, Koenigsegg turut menggantikan panel instrumen asal dengan paparan SmartCluster yang diambil daripada Regera.
Agera RS diperkenalkan pada tahun 2015 dengan kombinasi ciri-ciri daripada Agera R dan Agera S. Terhad kepada 25 unit sahaja, ia dikuasakan oleh enjin 5.0 liter twin-turbo V8 yang menjana 1,176PS dan 1,280Nm dalam versi standard, atau 1,360PS dan 1,370Nm dengan pakej naik taraf 1MW.
Pada Disember 2017, jentera ini muncul sebagai kereta produksi terpantas dunia apabila mencatat rekod kelajuan 447.19km/j.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar