Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Aprilia GPR150 ABS Edisi 2020 Lancar di China, Harga RM14,045

Erywan 05/05/2020 | 05:04 MYT

Aprilia GPR150 ABS edisi 2020 kini mula dijual di China. Motosikal sport fairing penuh itu dipasang oleh syarikat tempatan Zongshen ditawarkan pada harga 22,980 yuan (RM14,045).

Motosikal segmen 150cc ini mirip seperti model Aprilia GPR250 yang diperkenalkan di China pada tahun lalu. Motosikal sport jenama Itali itu dianggap pencabar terdekat Yamaha R15, seandainya ia hadir ke Indonesia atau Malaysia.
Aprilia GPR150 ABS menggunakan set lampu LED berkembar dengan lampu LED pada bahagian tengah. Tangki minyak motosikal ini adalah seluas 15.4 liter dan ia boleh dikatakan agak besar.
Motosikal berkenaan mempunyai dua pelana terpisah, manakala bar hendal pula adalah jenis klip. Maklumat tunggangan dipaparkan menerusi instrumen meter gabungan analog dan digital.
Takometer dipaparkan secara analog manakala skrin digital kecil mempamerkan maklumat seperti suhu enjin, kedudukan gear, odometer, spidometer serta baki minyak petrol.
Prestasinya pula, Aprilia GPR150 ABS (2020) menggunakan enjin silinder tunggal 4-lejang DOHC sejukan cecair berkapasiti 149cc, menjana output maksimum 18hp pada 9,750rpm dengan tork puncak 14Nm @ 7,500rpm. Kotak gear pula adalah enam kelajuan manual.
Sistem suspensi dipasang adalah jenis fork terbalik (USD) dengan absober tunggal di belakang. Antara pembaharuan Aprilia GPR150 ABS (2020) ialah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran Bosch dengan cakera 300 milimeter (mm) pada roda depan dan 218mm (belakang).
Berat motosikal sport ini cuma 148 kilogram. Ada empat warna pilihan untuk GPR150 iaitu merah, hitam, putih dan perak.

;