Tempatan
Aprilia RSV4 1100 2021, Fairing Baharu Serta Sesaran Enjin Lebih Tinggi
Bagi model tahun 2021, Aprilia mengemaskini RSV4 1100 dan RSV4 1100 Factory dengan rekaan fairing baharu, sesaran enjin yang lebih tinggi serta beberapa kelengkapan terkini. Naik taraf ini membolehkan model itu terus memberikan saingan sengit dalam segmen superbike, terutamanya kepada seteru utamanya iaitu Ducati Panigale.
Mengikut jejak langkah RS660, RSV4 kini didatangkan dengan konsep rekaan fairing dua lapisan yang dikatakan dapat membantu mengekalkan kestabilan pada kelajuan tinggi serta menyejukkan enjin. Tempat duduk dan tangki minyak turut direka semula bagi menghasilkan ergonomik penunggang yang lebih baik.
Secara umumya, casis RSV4 kekal seperti sebelum ini, namun Aprilia sudah menghasilkan lengan ayun baharu yang lebih ringan selepas dimanfaatkan daripada pembabitan jenama itu dalam MotoGP.
Sesaran enjin V4 yang menguasakan jentera ini dinaikkan dari 1,077cc kepada 1,099cc bagi memastikan ia dapat mematuhi piawaian emisi Euro 5. Menurut Aprilia, enjin berkenaan masih menghasilkan 217hp, tetapi jumlah tork menyaksikan sedikit peningkatkan berikutan penggunaan sistem ekzos baharu.
Dari segi elektronik pula, RSV4 menerima unit kawalan enjin (ECU) Marelli 11MP dan unit pengukuran inersia (IMU) enam paksi versi terbaru. Bukan itu sahaja, ciri Aprilia Performance Ride Control (APRC) menampilkan kawalan brek enjin pelbagai tahap dan enam mod tunggangan iaitu tiga untuk jalan raya serta tiga untuk litar lumba.
Seperti sebelum ini, terdapat dua versi yang ditawarkan iaitu versi asas RSV4 1100 dan RSV4 1100 Factory. Kedua-duanya mempunyai spesifikasi teknikal yang sama namun sebagai varian lebih tinggi, RSV4 1100 Factory dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan seperti rim aluminium tempaan, sistem suspensi separa aktif Ohlins Smart EC 2.0 dan angkup brek Brembo Stylema.