Antarabangsa
Ares Design Dedah Lakaran Digital WAMI Lalique Spyder
Pereka koc mewah terkenal dari Itali iaitu Ares Design mendedahkan lakaran digital hasil tangan terbaru mereka yang dikenali sebagai Wami Lalique Spyder. Ia direka dengan kerjasama Lalique, sebuah syarikat pembuat kristal dari Perancis, dan akan dihasilkan dalam bilangan yang terhad iaitu 12 unit sahaja.
Menurut Ares, panel badan jentera ini diperbuat daripada bahan campuran aluminium dan gentian karbon bagi memastikan ia ringan dan kukuh. Reka bentuk badannya jelas dipengaruhi oleh model-model roadster dua tempat duduk era 1950an, dengan lampu bulat berkembar seperti BMW 507, jeriji dan lubang angin sisi seperti yang terdapat pada Ferrari 250 GT, di samping kemasan krom dan rim wayar yang sememangnya popular pada zaman itu.
Sementara itu, ruang dalaman pula mengenengahkan gabungan elemen klasik dan mewah dengan upholsteri kulit yang dihiasi dengan jahitan terperinci, papan pemuka kayu oak Inggeris dan perhiasan kristal buatan tangan di segenap pelusuk kabin. Satu-satunya elemen moden yang terdapat di sini adalah skrin sentuh sistem infotainmen yang tersembunyi di dalam papan pemuka.
Perincian mengenai aspek teknikal masih belum diumumkan namun berdasarkan imej-imej yang disiarkan, Wami Lalique Spyder bakal didatangkan dengan transmisi manual. Bukan itu sahaja, lubang ambilan udara pada bahagian hud serta empat muncung ekzos menandakan kehadiran enjin yang besar dan berkuasa tinggi di bawah hudnya.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia automotif, Ares Design bukanlah nama yang asing dalam bidang pembuatan kereta moden retro seperti ini. Sebelum ini, syarikat itu pernah menghasilkan Panther ProgettoUno yang adalah De Tomaso Pantera versi moden, serta 250 GTO yang asalnya adalah 812 Superfast.