Antarabangsa

Aston Martin Tawar Dua Model 007 Edition Menerusi Vantage Dan DBS Superleggera

Erywan
27/08/2020
03:23 MYT
Sponsor Banner
Aston Martin Tawar Dua Model 007 Edition Menerusi Vantage Dan DBS Superleggera
Banyak filem baharu yang dijadualkan untuk tahun ini terpaksa ditangguhkan akibat penularan wabak Covid-19. Antaranya adalah filem terbaru James Bond iaitu No Time To Die. Namun, ini tidak menghalang Aston Martin daripada memperkenalkan dua model edisi terhad ‘007 Edition’.
Yang pertama adalah Vantage 007 Edition yang direka dengan inspirasi daripada Aston Martin V8. Jentera klasik itu ditampilkan dalam filem The Living Daylights pada 1987 dan akan membuat kemunculan istimewanya dalam No Time to Die.
Terhad kepada 100 unit sahaja, model ini menampilkan jeriji mesh dengan hiasan bezel krom serta perincian berwarna kuning pada diffuser belakang. Ia juga boleh dipesan dengan rak ski bumbung seperti yang digunakan oleh V8 dalam filem The Living Daylights.
Vantage 007 Edition didatangkan dalam warna Cumberland Grey untuk bahagian luaran, manakala ruang kabinnya dihiasi dengan upholsteri kulit Obsidian Black dan kemasan krom gelap.
Antara perincian yang diambil daripada filem terbabit yang disertakan pada model ini adalah sulaman 96.60 FM pada visor matahari, corak ‘f’ cello pada tempat duduk dan panel senjata pada konsol tengah.
Sementara itu, DBS Superleggera 007 Edition pula terhad kepada 25 unit dan hadir dengan spesifikasi yang sama dengan unit yang akan ditampiklkan dalam filem terbaru James Bond itu.
Ini termasuk warna luaran Ceramic Grey dan kemasan gentian karbon pada bumbung, cermin sisi, diffuser dan Aeroblade belakang, serta rim Y-Spoke berukuran 21 inci berwarna Gloss Black.
Bagi meningkatkan lagi eksklusivitinya, jentera ini turut dilengkapi dengan lencana 007 pada dapra serta lencana 007 yang diperbuat daripada keluli tahan karat pada spoiler belakang. Penjenamaan 007 turut digunakan secara meluas pada bahagian dalam iaitu pada panel pintu, perehat tangan dan penutup subwoofer belakang.
Ruang ini mengenengahkan suasana gelap menerusi penggunaan upholsteri kulit berwarna hitam yang dihiasi dengan jahitan kontras merah. Turut disertakan adalah plak nombor siri pengeluaran.
Vantage 007 Edition ditawarkan pada harga £161,000 (RM88,6294), manakala DBS Superleggera 007 Edition pula £279,025 (RM1.53 juta). Penghantaran dijangka bermula pada suku pertama tahun hadapan.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar