Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Audi Perkenalkan R8 Green Hell, Ada 620PS dan 580Nm

Erywan 15/10/2020 | 02:32 MYT

Tahukah anda, sejak 2012, Audi sudah merangkul lima kemenangan keseluruhan dalam perlumbaan 24 Hours of Nurburgring?

Bagi meraikan pencapaian yang membanggakan itu, syarikat itu memperkenalkan model edisi terhad R8 Green Hell Edition. Seperti yang anda mungkin tahu, Green Hell adalah nama jolokan litar terbabit.
Unit ditampilkan ini memakai warna hijau Tioman Green yang turut digunakan oleh jentera lumba R8 LMS dalam kejohanan itu. Jika warna ini tidak menepati cita rasa, pelanggan boleh memilih warna lain seperti Ibis White, Daytona Grey dan Mythos Black.
Untuk menyerlahkan lagi warna badan, Audi menggunakan kemasan hitam foil pada hud, tiang A dan bampar belakang, serta trim hitam matte pada cermin sisi, spoiler belakang, bilah sisi dan diffuser. Rim pula didatangkan dalam saiz 20 inci, dengan warna hitam matte dan aksen merah sebagai penyudah.
Di dalam, kemasan Alcantara dikenakan pada stereng, pad lutut, perehat tangan tengah dan hud kluster instrumen. Jahitan kontras berwarna hijau-biru boleh didapati pada beberapa tempat di dalam kabin, termasuk pada tempat duduk, panel instrumen dan pemegang pintu. Sementara itu, karpet lantai pula menampilkan logo “Green Hell R8”.
Kuasa dibekalkan oleh enjin NA berkapasiti 5.2-liter V10 yang menghasilkan 620PS dan 580Nm. Dengan transmisi S Tronic tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda Quattro, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya 2.1 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 331km/j.
R8 Green Hell Edition akan dikeluarkan di kilang pemasangan Böllinger Höfe, di mana kerangka Space Frame untuk R8 LMS turut dihasilkan. Pengeluaran model ini akan dihadkan kepada 50 unit, dengan harga bermula dari €233,949 (RM1.14 juta) di Jerman.

#Audi
;