Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Audi RS6 Avant RS Tribute Edition - Wagon Ini Memiliki 600PS, Prestasinya Menyamai Supercar

Erywan 28/09/2020 | 01:27 MYT

Audi memperkenalkan RS6 Avant ‘RS Tribute Edition’ sebagai penghormatan kepada model RS pertama iaitu RS2 Avant yang dilancarkan pada 1994.

Terhad kepada 25 unit sahaja untuk pasaran Amerika Syarikat, model ini didatangkan dalam warna Nogaro Blue yang dipadankan dengan warna hitam pada gril, skirt sisi, diffuser dan rel bumbung. Apa yang menarik, RS2 Avant juga pernah ditawarkan dalam warna yang sama.
Selain itu, RS Tribute Edition turut didatangkan dengan rim V-spoke berukuran 22 inci, manakala angkup breknya berwarna merah untuk penampilan yang lebih garang.
Ruang kabin pula dihiasi dengan trim gentian karbon dan jahitan kontras biru denim. Turut disertakan adalah tempat duduk Valcona S Sport, karpet RS, serta dua pakej kelengkapan iaitu Driver Assistance yang merangkumi Adaptive Cruise Assist dan Side Assist, dan Executive yang merangkumi pemanas tempat duduk belakang.
Pada masa sama, ia juga dilengkapi paparan ‘head up’, pintu ‘soft close’ dan sistem audio 3D Bang & Olufsen.
Bagaimanapun, tiada sebarang perubahan dalam aspek prestasi, di mana wagon berprestasi tinggi ini kekal dengan enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang mampu menjana 600PS dan 800Nm.
Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda quattro, ia hanya memerlukan 3.6 saat untuk memecut dari 0 hingga 100km/j.
Audi RS6 Avant RS Tribute Edition dijual pada harga $136,800 (RM567,380) atau $27,800 (RM115,300) lebih mahal berbanding versi biasa.

#Audi
;