Antarabangsa

Auto Salon pertama di kota Riyadh

Erywan
15/11/2019
01:56 MYT
Sponsor Banner
Auto Salon pertama di kota Riyadh
Bagi peminat automotif khususnya di Asia Barat, ada satu lagi auto show bakal diadakan pada 21 November ini di kota Riyadh, Arab Saudi.
Dikenali sebagai Riyadh Auto Salon, pameran yang merupakan sebahagian daripada Pameran Motor Riyadh yang pertama di negara Teluk itu akan berlangsung selama enam hari. Pameran itu akan menyajikan kereta-kereta berkelas dunia, kenderaan istimewa selain pembabitan pengeluar peralatan berpretasi terkemuka dunia, pakar industri dan juga selebriti automotif.
Lebih 450 kenderaan peserta pameran dan 250 buah syarikat mempamer dilaporkan akan mengambil bahagian buat julung kalinya di Riyadh. Ini juga adalah satu platform untuk memperkenalkan budaya kereta rakyat Arab Saudi. Riyadh Auto Salon dianjurkan selari dengan Musim Arab Saudi iaitu satu inisiatif kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan industri pelancongan di kawasan terbabit. Dianggarkan seramai 250,000 orang akan hadir ke acara itu.
Beberapa kenderaan kustom oleh pembina dari Amerika Syarikat akan membawa hasil ciptaan mereka ke situ, termasuk jentera yang belum pernah dilihat umum setakat ini. Acara itu bakal dihadiri selebriti dari Overhaulin (Chip Foose, Chris Jacobs dan Adrienne Janic), Gas Monkey Garage (Richard Rawlings), juara Formula Drift, Vaughn Gittin Jr. dan West Coast Customs (Ryan Friedlinghaus).
Brian Scotto dari Hoonigan dan juga pelumba sukan drag, Leah Pritchett turut tersenarai akan hadir. Satu acara lelongan eksklusif akan diadakan pada 23 November dengan tawaran beberapa model kenderaan klasik pra-perang dan model eksotik.
Antara model yang akan muncul ialah kereta pameran 1957 Chevy “Imagine” yang memenangi Best of Show di Pameran SEMA, Lincoln Continental Convertible “Maybellene” 1958, Dodge Hemi Daytona 1969 ; Ford “P-32” highboy roadster serta BMW M1 tahun 1981. Ringbrothers, pembina kereta kustom terkemuka dunia, akan membawa enam model kustom ke acara itu. Kesemua model itu akan ditawarkan untuk jualan. Tiga daripadanya belum pernah dipertonton lagi kepada orang ramai.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari https://globalautosalon.com/.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar