Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Tempatan

Baby Harley-Davidson Semakin Nyata

Erywan 24/03/2021 | 07:39 MYT

Impian untuk melihat model baby Harley-Davidson semakin cerah selepas gambar daripada dokumen yang difailkan pengeluar motosikal China, Qianjiang Motor tular di internet. Sebelum ini, hanya gambar lakaran baby Harley tersebar di internet sejak dunia dimaklumkan mengenai kerjasama Harley-Davidson dan Qianjiang Motor.

Secara ringkas, ramai sedar Harley-Davidson ada masalah meneruskan bisnes di Amerika Syarikat dengan keadaan perniagaan yang agak tenat dan mereka perlu menghasilkan produk yang benar-benar dapat diterima oleh ramai pengguna.
Dari situ, timbulnya idea kerjasama dengan Qianjiang Motor untuk mencipta baby Harley di China untuk pasaran Asia termasuk Asia Tenggara. Qianjiang Motor sudah memfailkan nama SRV300 di China dan masih memakai lencana Qianjiang Motor.
Ada potensi model berkapasiti 300cc ini akan dieksport ke rantau Asia Tenggara, tetapi sebagai baby Harley-Davidson. Perkara ini dikuatkan dengan beberapa ciri pada motosikal terbaharu itu.
Pertama, SRV300 menggunakan enjin V-twin baharu walaupun bersesaran 296cc. Ini boleh dianggap sebagai enjin V-Twin paling kecil yang menggunakan lencana Harley-Davidson. Malah reka bentuk SRV300 juga meniru beberapa gaya model Sportster Iron 883 dan Street 750.
Enjin SRV300 boleh jana 30hp dan angka ini sudah pastinya ada aura menarik minat ramai pembeli di Asia. Harley-Davidson sudah membentangkan strategi mereka dan Asia Tenggara mungkin penyelamat syarikat itu seandainya baby Harley mampu memanfaat potensi saiz pasaran besar di Asia Tenggara dan memberi fokus kepada golongan pembeli kelas pertengahan.
Ini adalah langkah pertama meneroka segmen motosikal kecil oleh Harley-Davidson, jika berjaya lembaga pengarahnya boleh tidur lena.

#Harley-Davidson
;