Tempatan
Benda LFC700 Tarik Minat Pencinta Motosikal Cruiser Barat
Syarikat pengeluar motosikal di China, Benda bersiap sedia untuk melancarkan sebuah model cruiser di bandar Xi’an pada 1 Julai ini dan ini bukan satu produk tiruan.
Dipanggil Benda LFC700, motosikal gaya futuristik ini pernah dipertonton sebagai model konsep LF-01 pada tahun lalu dan menarik perhatian ramai disebabkan aspek rekaan, saiz tayar serta konfigurasi enjinnya.
Tarikan utama ialah tayar belakang dengan profil lebar 310 yang pasti menjadi kesukaan ramai peminat tegar cruiser di negara-negara Barat.
Melihat pada bentuk enjinnya, cruiser ini menggunakan blok enjin empat silinder sebaris berkapasiti 680cc yang mampu menjana kuasa maksimum 97hp. Kelajuan maksimumnya ialah sekitar 180 kilometer sejam. Lazimnya, cruiser sebegini akan guna enjin besar V-Twin.
Kerangka motosikal ini ditutup dengan panel badan yang diperbuat daripada material aluminium dan berat keseluruhan LFC700 dilaporkan 215 kilogram. Fork depan digunakan mungkin jenis USD (Upside-down) dengan sistem monoshock di belakang. Sistem brek digunakan ialah cakera berkembar pada roda depan dan cakera tunggal untuk rim belakang.
Ketika konsep motosikal ini dipamerkan, ia dikatakan ada instrumen meter TFT berwarna dan memiliki teknologi pendikit minyak jenis ride-by-wire, klac antigelincir (Slipper Assist), ada fungsi Kawalan Jejalah, Sistem Brek Antikunci dan Bantuan Pemula Bukit (HSA).
Hampir semua ciri tersebut akan dikekalkan bagi produk pengeluaran berskala besar-besaran kecuali pendikit minyak jenis ride-by-wire dan Kawalan Jelajah. Harga LFC700 dijangka antara 40,000 hingga 50,000 yuan (RM25,455 hingga RM31,820).
Sumber: BikeDekho