Antarabangsa
Bentley Continental GT pecah rekod di Pikes Peak
Umum mengetahui bahawa Bentley adalah nama yang begitu sinonim dengan kemewahan. Tetapi jangan terkejut kerana pengeluar dari Crewe itu juga mempunyai kekuatan tersendiri dalam bidang sukan permotoran.
Buktinya, sebuah Bentley Continental GT sudah memecahkan rekod bagi kereta produksi di perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb baru-baru ini.
Dipandu oleh pelumba berpengalaman dari New Zealand iaitu Rhys Millen, jentera yang diubah suai itu berjaya menamatkan cabaran sepanjang 19.9km itu dalam masa 10:18.488 dengan kelajuan purata mencecah 113km/j.
Ini secara tidak langsung menjadikannya 8.4 saat lebih pantas berbanding pemegang rekod terdahulu iaitu David Donner yang memandu sebuah Porsche 911 Turbo S (2014.
Dalam perlumbaan tahunan itu, model ‘grand tourer’ dengan enjin W12 itu melakukan panjatan setinggi hampir 5,000 kaki menerusi 156 selekoh. Perlumbaan bermula pada ketinggian 9,300 kaki dan tamat pada ketinggian 14,100 kaki, di mana keadaan lebih mencabar kerana udara adalah 1/3 kurang padat jika dibandingkan pada paras laut.
Apa yang menarik, ini bukanlah kejayaan pertama Bentley di Pikes Peak. Tahun lalu, sebuah Bentayga yang juga dipandu oleh Millen berjaya mencatat rekod baharu bagi kategori SUV produksi dengan catatan masa 10:49.9.
Pengarah Sukan Permotoran Bentley, Brian Gush berkata, rekod baru itu sekali lagi membuktikan bahawa semangat dan keinginan untuk mendorong sempadan prestasi automotif kekal di nadi Bentley.
“Ia jelas menunjukkan keupayaan luar biasa Continental GT,” katanya.