Watch
Biarpun lama, tapi luar biasa
Awal tahun ini, drebar.my pernah memaparkan Proton Iswara warna merah yang menggunakan enjin Mitsubishi Mirage 4G61T untuk mengisi ruang modifikasi.
Namun pada kali ini, kami menampilkan sekali lagi jentera buatan nasional yang sudah menerima sentuhan menarik dan kemas secara keseluruhannya.
Biarpun umurnya 21 tahun, Proton Iswara ini masih lagi hebat dengan modifikasi yang dikenakan padanya. Ada peminatnya yang tersendiri, jentera itu juga mampu memberikan persembahan hebat kepada ramai orang di luar sana.
Proton Iswara yang anda lihat ini adalah kepunyaan saudara Ejam dari Melaka. Jika dilihat secara keseluruhan, pastinya anda terpegun dan terpukau dengan gaya modifikasi yang diterapkan pada jentera itu.
Bagi mencungkil apa yang sudah 'dibedah' pada jentera itu, drebar.my dimaklumkan ia menggunakan enjin 4G93 yang bersesaran 1.8 liter.
Enjin itu tidak dibiarkan begitu sahaja, apabila pemiliknya melakukan naik taraf terhadap rangkaian kuasa berkenaan.
Ia membabitkan kepala silinder yang melalui proses port & polish. Seterusnya, ia dipadankan bersama aci sesondol 272° dan diikatkan dengan pulley boleh laras daripada HKS. Ruangan bloknya pula dihuni oleh omboh yang diambil dari enjin Mitsubishi Mivec.
Apa yang menarik, ambilan manifold Skunk2 yang diikatkan bersama pendikit badan S90 turut dipasangkan bagi menyalurkan lebih kuasa.
Kuasa yang dihasilkan akan dihantar keluar pada roda melalui kotak gear dilengkapi klac Triniti. Selain itu, radiator aluminium Jasma menjadi pilihan untuk memastikan suhu sentiasa berada pada tahap optimum.
Pada bahagian luaran, ia menampilkan identiti tersendiri. Skirt sisi VR4, bonet hadapan Evo 3 gentian karbon kustom, bumbung matahari milik Honda EG6 serta cermin sisi Spoon yang juga dari bahan gentian karbon menambahkan lagi kehebatan jentera itu.
Bagi memberi penampilan lebih gah, rim SSR Type C berukuran 16 inci yang dibaluti tayar Yokohama Advan Neova AD08R turut ditugaskan memberi cengkaman lebih jitu pada permukaan jalan raya.
Suspensi boleh laras Tein dipilih untuk diletak pada bahagian hadapan, manakala dikustomkan dan dipasang dengan spring milik Honda SM4. Kuasa hentian diperkuatkan dengan sistem brek 4pot milik Toyota untuk hadapan dan belakang diambil daripada Mitsubishi VR4.
Bahagian dalaman juga tidak dibiarkan standard apabila tampil menarik dengan padanan j tempat duduk Bride Low Max Carbon Kevlar.
Papan pemuka LMST serta beberapa aksesori lain yang turut dibuat dari bahan gentian karbon sekali gus membuatkan ruangan kokpit tampak sporty.
Pada papan pemuka, boleh kelihatan deretan meter Defi 5 beradik dan stereng Nardi sebagai pengemudi utama jentera terbabit.
Boleh dikatakan, Proton Iswara yang berumur 21 tahun ini cukup gah dan menarik untuk dikongsi bersama anda.