Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Tempatan

BMW 4 Series Gran Coupe - Lebih Besar, Tetapi Gaya Sama

Erywan 15/06/2021 | 03:28 MYT

Tidak lama selepas memperkenalkan i4 yang dipacu oleh trenkuasa elektrik sepenuhnya, BMW kini kembali dengan versi pembakaran dalaman iaitu 4 Series Gran Coupe. Model generasi kedua ini ditawarkan dalam lima varian dan tiga daripadanya adalah varian hibrid ringkas (mild hybrid).

Dari segi reka bentuk, 4 Series Gran Coupe tampil dengan gril ‘kidney’ gergasi yang digunakan buat pertama kali pada M3 dan M4. Sekali imbas, ia kelihatan sama sahaja dengan 4 Series Coupe yang dilancarkan pada tahun lalu, kecuali dengan penambahan pintu belakang.
Dengan ukuran panjang 4,783mm, lebar 1,852mm dan tinggi 1,442mm, model coupe empat pintu ini 143mm lebih panjang, 27mm lebih lebar dan 53mm lebih tinggi berbanding model generasi pertama. Bukan itu sahaja, ukuran tapak roda turut bertambah sebanyak 46mm kepada 2,856mm, sekaligus menghasilkan ruang kabin yang lebih luas.
Bercakap tentang ruang kabin, ia mempunyai reka bentuk dan susun atur yang sama sahaja seperti model-model BMW semasa. Di dalam 4 Series Gran Coupe, terdapat sistem BMW Live Cockpit Professional yang dikuasakan oleh Sistem Operasi BMW 7. Ia merangkumi kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci dan skrin infotainmen 10.25 inci pada papan pemuka.
Turut disertakan adalah ciri-ciri seperti Apple CarPlay, Android Auto, kawalan isyarat pergerakan tangan, BMW Intelligent Personal Assistant, kunci digital, Connected Music dan kemaskini perisian jarak jauh.
Varian paling asas iaitu 420i dikuasakan oleh enjin petrol 2.0 liter empat silinder dengan menghasilkan 184PS dan 300Nm, manakala 430i pula menggunakan enjin yang sama, namun dengan jumlah kuasa yang lebih tinggi iaitu 245PS dan 400Nm.
BMW turut menawarkan varian diesel iaitu 420d yang boleh didapati dengan pacuan roda belakang atau pacuan semua roda (xDrive). Varian ini menampilkan gabungan enjin 2.0 liter empat silinder dan sistem hibrid ringkas 48 volt yang mempunyai kuasa keseluruhan 190PS dan 400Nm.
M440i xDrive menggunakan sistem hibrid ringkas yang sama, tetapi enjin petrol enam silinder sebaris bersesaran 3.0 liter, ia menikmati kuasa sebanyak 374PS dan 500Nm, sekali gus menjadikannya varian paling berkuasa setakat ini.
Transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan didatangkan standard pada semua varian kecuali M440i yang dilengkapi dengan unit Steptronic Sport. Sistem hibrid ringkas itu memberikan kuasa tambahan sebanyak 11PS (8kW) ketika kenderaan baru mula bergerak. Penggunaan bateri membolehkan ia menjana semula tenaga dan menyimpannya untuk digunakan kemudian.
Dari segi keselamatan, 4 Series Gran Coupe didatangkan standard dengan Front Collision Warning, Speed Limit Info, Lane Departure Warning, Park Distance Control, Reversing Assist Camera serta Parking Assistant with Reversing Assistant. Termasuk ciri-ciri yang ditawarkan secara pilihan, terdapat kira-kira 40 sistem keselamatan dan bantuan pemandu kesemuanya.

#BMW
;