Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Tempatan

BMW 8 Series Frozen Black Edition, Hitam Itu Menawan!

Erywan 28/06/2021 | 03:12 MYT

Peminat BMW di Jepun boleh dikatakan sangat beruntung kerana saban tahun, ada sahaja model edisi istimewa yang dilancarkan khas untuk pasaran negara itu. Yang terbaru adalah 8 Series Frozen Black Edition yang mempunyai penampilan serba hitam di luar dan juga di dalam.

Untuk bahagian luaran, warna yang digunakan adalah warna hitam matte Frozen Black yang diambil dari katalog BMW Individual. Ia dipadankan dengan kemasan hitam pada jeriji ‘kidney’, muncung ekzos, rim aloi 728M berukuran 20 inci dan angkup brek M Sport yang tersembunyi di sebaliknya.

Tema yang sama digunakan pada bahagian kokpit menerusi upholsteri kulit Merino, kemasan Alcantara pada bahagian bumbung dan trim hitam piano BMW Individual pada papan pemuka. Sebagai pelengkap kepada suasana mewah ini, BMW turut menyertakan sistem audio keliling Bowers & Wilkins Diamond dan bumbung panoramik elektrik pada varian Gran Coupe.

8 Series Froze Black Edition boleh didapati dalam versi Coupe dan Gran Coupe, dengan pengeluaran terhad kepada 20 unit sahaja iaitu lima untuk Coupe dan selebihnya untuk Gran Coupe.

Kedua-duanya didatangkan dalam varian 840i yang bermakna ia dikuasakan oleh enjin turbo enam silinder bersesaran 3.0-liter yang menghasilkan 335hp pada 5,000 rpm dan 500Nm pada 1,600 rpm. Enjin terbabit dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda belakang.

Harga untuk model ini bermula dari 15 juta yen (RM563,200) untuk versi Coupe dan 15.1 juta yen (RM566,960) untuk versi Gran Coupe. Tempahan untuknya akan dibuka pada 30 Jun hadapan menerusi BMW Online Store.

#BMW
;