Antarabangsa
BMW Bakal Hasilkan M3 Wagon - Sesuai Bapa Jiwa Kelajuan
Kisah BMW M3 Wagon ini sudah lama, namun tidak pernah menjadi kenyataan. Namun ia akhirnya bakal muncul pada 2022. dan disahkan menerusi siaran akhbar yang dikeluarkan oleh BMW sendiri.
Model prototaip M3 Wagon bakal diuji sekitar Garching yang menjadi landasan buat BMW M. Begitu juga bagi M3 Sedan, M4 Coupe dan M4 Convertible yang dikhabarkan bakal tiba pada 2021.
Gaya badan bumbung yang tebal akan disokong oleh enjin 6 silinder bersama pengecas turbo. Gandar yang lebar dengan corong udara besar di depan dan empat ekzos paip antara spesifikasi yang bakal ditawarkan.
Bahkan jenama Jerman itu juga menyatakan tidak pernah ada lagi estet kelas pertengahan yang menawarkan pemanduan menyeronokkan dan tepat. Biarpun kehadiran agak lewat dalam segmen itu sedangkan pesaingnya seperti Audi sudah lama berada di pasaran, BMW mungkin akan memilih pacuan roda belakang sebagai standard dengan pilihan M xDrive.
Ia juga kekal menggunakan transmisi manual 6-kelajuan dan M xDrive digabungkan dengan ZF 8HP pengubah tork automatik.
Pada akhir siaran akhbar BMW mendedahkan pembangunan M3 Touring masih lagi di tahap awal dan memerlukan dua tahun untuk disiapkan. Dalam kata lain model baharu itu bakal berada di pasaran pada 2022 atau 2023.