Antarabangsa
BMW Malaysia Lancar X1 sDrive20i M Sport dan 320i Sport versi CKD
Erywan
09/01/2020
|
08:11 MYT
BMW Malaysia membuka tirai tahun baharu dengan melancarkan dua model menerusi X1 sDrive20i M Sport dan 320i Sport.
Kedua-dua varian itu akan melengkapkan portfolio barisan kenderaan yang dipasang di Malaysia, justeru mengukuhkan lagi komitmen pengeluar kenderaan premium dalam inisiatif pelaburan yang berterusan di Malaysia.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, X1 sDrive20i M Sport dan 320i Sport adalah model pemasangan tempatan yang mana kedua-duanya tergolong dalam segmen portfolio yang paling laris di negara ini.
BMW X1 sDrive20i M Sport
X1 sDrive20i M Sport diperbaharui dengan lampu kabus LED berintegrasi serta salur masuk udara yang lebih besar. Komponen tiub dalam lampu hadapan LED berbentuk heksagon, menonjolkan lagi perwatakan moden X1 sDrive20i M Sport.
Ia juga hadir dengan Pakej Lampu merangkumi Welcome Light Carpet. Apabila pintu kenderaan ini dibuka, sumber cahaya LED di cermin luar yang bersebelahan dengan tempat duduk pemandu akan memancarkan karakter “X1” ke atas lantai dalam dua tona warna.
Lampu belakang LED jentera ini juga menampilkan reka bentuk baharu, dengan bar LED tunggal menyerlahkan corak bentuk L dari sisi ke sisi.
Ia turut diserlahkan melalui paip ekzos kanan dan kiri, yang kini bersaiz lebih besar daripada 70 kepada 90 milimeter, selain menampilkan roda aloi ringan M 18 inci dengan Penggayaan Double-spoke 570 M Dwiwarna.
Dari segi kuasanya, ia dijana enjin petrol empat silinder 2.0 liter, digandingkan transmisi Steptronic Sport Dwi-Klac 7 Kelajuan yang menyalurkan 192hp dengan tork setinggi 280Nm.
BMW 320i Sport
BMW 320i Sport dilengkapi dengan set roda aloi ringan 18 inci rekaan V-Spoke dwi warna. Ia didatangkan dengan enjin petrol TwinPower Turbo 2.0 liter, dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport 8 Kelajuan.
Sedan sport itu mampu mencapai kelajuan tertinggi mencecah 235 km/j, dengan output maksimum berjumlah 184hp dengan tork puncak 300Nm.
Ia turut dilengkapi dengan BMW Live Cockpit Plus – iaitu sebuah kluster instrumen analog dengan paparan bersaiz 5.7 inci berserta paparan kawalan sesentuh 8.8 inci.
Buat pertama kali dalam segmennya, BMW 320i Sport didatangkan Bantuan Mengundur (Reversing Assistant), ia menawarkan kemudahan pemanduan separa-autonomi ketika mengundur di laluan yang sempit serta Kamera Pandang Belakang sebagai standard.
Harga jualan atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) adalah:
- BMW X1 sDrive20i M Sport-RM233,800
- BMW 320i Sport-RM243,800