Antarabangsa

BMW X6, kini masuk generasi ketiga dengan rekaan semakin gah!

Erywan
19/07/2019
02:02 MYT
Sponsor Banner
BMW X6, kini masuk generasi ketiga dengan rekaan semakin gah!
Antara model terawal yang membawa bentuk ‘crossover coupe’ ke arah lebih mainstream, BMW X6 kini memasuki generasi ketiga dengan rekaan yang semakin gagah dan barisan teknologi yang lebih canggih.
Menggunakan platform yang sama dengan X5, X6 kini hadir dengan dimensi lebih besar berbanding model generasi kedua. Ukuran panjang keseluruhan bertambah 26mm, lebar bertambah 15mm, jarak roda bertambah 42mm, manakala ketinggian pula dikurangkan sebanyak 6mm.
Rekaan X6 kali ini menampilkan bentuk lampu sama dengan X5, ditemani oleh jeriji kidney yang dipersembahkan dalam satu bingkai. Jeriji itu bukan sahaja lebih besar, malah ia kini boleh menyala (ditawarkan secara pilihan) bersama dengan lampu nyalaan siang.
Bahagian dalaman juga mengambil inspirasi daripada X5 dengan rekaan papan pemuka moden yang menempatkan kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci dan skrin sentuh utama dalam saiz yang sama.
Dikuasakan oleh sistem operasi BMW 7.0, ia didatangkan dengan pelbagai fungsi seperti arahan suara dan gerak tangan, Wifi dan pelbagai lagi.
Selain itu, ciri-ciri mewah seperti pencahayaan ambien, Welcome Light Carpet, sistem audio Bowers & Wilkins Diamond+ 3D serta bumbung kaca panorama Sky Lounge turut ditawarkan.
X6 boleh didapati dalam empat varian yang terdiri daripada dua enjin petrol dan dua enjin diesel.
Bagi petrol, varian M50i menampilkan enjin twin-turbo 4.4 liter V8 dengan 530PS dan 750Nm, manakala varian xDrive40i yang dikuasakan oleh enjin twin-turbo 3.0 liter enam silinder selari mempunyai 340PS dan 450Nm.
Bagi varian diesel pula, M50d dikuasakan oleh enjin 3.0 liter enam silinder dengan empat pengecas turbo yang menghasilkan 400PS dan 760Nm. Varian xDrive30d turut dikuasakan oleh enjin 3.0 liter enam silinder, tetapi hanya mempunyai 265PS dan 620Nm.
Semua varian menerima transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive yang lebih cenderung kepada pacuan roda belakang. Varian M Sport pula mendapat tambahan M Differential pada gandar belakang.
Apa yang menarik, varian xDrive40i dan xDrive30d boleh didapati dengan pakej Offroad yang menyertakan kelengkapan tambahan seperti sistem suspensi udara, M Differential, serta empat mod pemanduan off-road iaitu Snow, Sand, Gravel dan Rocks.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar