BMW X6, kini masuk generasi ketiga dengan rekaan semakin gah!
Antara model terawal yang membawa bentuk ‘crossover coupe’ ke arah lebih mainstream, BMW X6 kini memasuki generasi ketiga dengan rekaan yang semakin gagah dan barisan teknologi yang lebih canggih.
Menggunakan platform yang sama dengan X5, X6 kini hadir dengan dimensi lebih besar berbanding model generasi kedua. Ukuran panjang keseluruhan bertambah 26mm, lebar bertambah 15mm, jarak roda bertambah 42mm, manakala ketinggian pula dikurangkan sebanyak 6mm.
Bahagian dalaman juga mengambil inspirasi daripada X5 dengan rekaan papan pemuka moden yang menempatkan kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci dan skrin sentuh utama dalam saiz yang sama.
Selain itu, ciri-ciri mewah seperti pencahayaan ambien, Welcome Light Carpet, sistem audio Bowers & Wilkins Diamond+ 3D serta bumbung kaca panorama Sky Lounge turut ditawarkan.
Bagi petrol, varian M50i menampilkan enjin twin-turbo 4.4 liter V8 dengan 530PS dan 750Nm, manakala varian xDrive40i yang dikuasakan oleh enjin twin-turbo 3.0 liter enam silinder selari mempunyai 340PS dan 450Nm.
Semua varian menerima transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive yang lebih cenderung kepada pacuan roda belakang. Varian M Sport pula mendapat tambahan M Differential pada gandar belakang.