Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

BMW X7 Pickup, ini benar-benar wujud!

Erywan 11/07/2019 | 05:46 MYT

Apa yang anda lihat ini bukanlah imej ‘render’ yang dihasilkan pakar manipulasi foto, sebaliknya ia adalah trak pikap sebenar yang dibangunkan khas oleh 12 pelatih vokasional BMW Group.

Model konsep ‘one off’ ini dibina menggunakan sebuah X7 pra-produksi sebagai asas dan akan dipertontonkan pada acara BMW Motorrad Days yang akan berlangsung pada bulan Julai ini.

Untuk menghasilkan trak unik ini, barisan tempat duduk ketiga X7 dipotong dan digantikan dengan ruang kargo mewah dengan kemasan kayu jati yang diinspirasikan oleh kapal layar. Padanan warna Tanzanite Blue metalik pula memberikan trak ini penampilan yang sofistikated.

Ini secara tidak langsung menjadikan trak ini 10cm lebih panjang berbanding versi asal. Ruang kargo itu pula mempunyai ukuran 140cm dengan tailgate tertutup atau 200cm dengan tailgate terbuka, cukup untuk memuatkan sebuah motosikal BMW F 850 GS.

Menurut BMW, penggunaan bahan polimer bertetulang gentian karbon (CFRP) pada bahagian bumbung, pintu belakang serta tailgate berhasil mengurangkan berat sebanyak 200kg jika dibandingkan dengan model sebenar.

Proses penukaran ini mengambil masa selama 10 bulan. Walaupun pelatih diberi kebebasan sepenuhnya dari segi pemilihan konsep, mereka mendapat bantuan daripada divisyen Concept Vehicle Construction dan Model Technology untuk kerja-kerja pembinaan.

Bagaimanapun, BMW awal-awal lagi mengesahkan bahawa mereka tidak mempunyai perancangan untuk menjadikan trak ini model produksi.

#BMW #X7
;