Antarabangsa
Brabus Tampilkan Talaan Crossover GLB, Lebih Rugged Serta Berkuasa
Firma Brabus dikenali dengan talaan berkuasa ke atas model keluaran Mercedes-Benz, termasuk menjenamakan semula produk Jerman itu dengan tanda nama sendiri.
Reputasi firma yang juga berpangkalan di Jerman itu sudah terbukti dan momentum pengubahsuaian berterusan hingga tahun ini dengan kemunculan naik taraf model GLE, GLS dan G-Class.
Kali ini, pasukan jurutera Brabus memberi sentuhan mereka pada model crossover GLB walaupun imejnya tidak banyak berubah, lebih bersifat santai berbanding agresif.
Mereka mengubah wajah depan GLB dengan pemasangan dua komponen spoiler, tetapi ini hanya boleh dibuat dengan bampar versi AMG. Untuk bampar standard, ia mungkin tidak membawa hasil seperti dikehendaki.
Logo bintang berkaki tiga pada bahagian tengah gril depan sudah digantikan dengan lambang huruf B menandakan ini sebuah Brabus. Dua batang bar lampu jenis LED dipasang pada bahagian bumbung crossover, iaitu di atas cermin depan. Pengubahsuaian lebih rugged ini membuatkan GLB seolah-olah meminjam imej abangnya iaitu G-Class.
Bahagian belakang menerima sentuhan minimalis dengan padanan spoiler ekor itik di atas bumbung. Empat muncung ekzos tona hitam krom menghiasi bahagian bawah dan setiap satu berdiameter 3.5 inci dan menghasilkan nada ekzos yang lebih kasar.
Rim Brabus 10 batang jejari ditawarkan dengan tiga pilihan saiz iaitu 18 hingga 20 inci. Pilihan tayar ada tiga jenama iaitu Continental, Pirelli atau Yokohama.
Ruang kabin juga tidak diubah suai dengan signifikan, cuma ditukar pedal aluminum, karpet, sil pintu dengan lampu pencahayaan biru dan pelapik but jenama Brabus.
Mekanik Brabus melakukan ubah suai paling besar pada unit enjin Mercedes-Benz ini dengan menala unit kawalan enjin (ECU) GLB 250 untuk mendapatkan tambahan kuasa 46hp dan tork 80Nm. Ini menjadikan jumlah kuasa kuda naik kepada 267hp dengan tork sekuat 430Nm.
Satu tetapan sistem suspensi baharu dipasang pada GLB ini yang menurunkan ketinggian asal sebanyak 30 milimeter (mm) atau ada opsyen off-road dengan meningkatkannya kepada 35mm. Setakat ini, tiada harga didedahkan untuk model terbabit.