Antarabangsa
Bugatti Centodieci- Simbolik ulang tahun Bugatti ke-110
Acara Monterey Car Week yang berlangsung di Pebble Beach, California menyaksikan kemunculan satu lagi model edisi terhad Bugatti iaitu Centodieci.
‘Centodieci’ adalah perkataan Itali yang bermaksud ‘110’. Model ini bukan sahaja dibangunkan sebagai simbolik sambutan ulang tahun Bugatti yang ke-110, ia juga adalah tribut kepada model EB110 yang dikeluarkan dari 1991 hingga 1995.
Dari segi luaran, Centodieci mempunyai bentuk badan yang sama dengan Chiron. Namun jeriji ‘ladam kuda’ dan lubang ambilan udara yang dipecahkan kepada tiga seksyen pada bahagian hadapan jelas menunjukkan bahawa model ini diinspirasikan oleh EB110.
Sementara itu, elemen berbentuk C pada bahagian sisi digantikan dengan lima lubang ambilan udara yang ditugaskan untuk membekalkan udara kepada enjin. Seperti EB110, enjin Centodieci boleh dilihat menerusi penutup kaca.
Bahagian belakang pula menampilkan bukaan udara yang luas bagi penyejukan enjin, berserta lapan elemen lampu, muncung ekzos bertindih dan ‘diffuser’ prestasi yang dikatakan mampu menghasilkan ‘downforce’ yang lebih tinggi.
Apa yang membuatkan Centodieci lebih istimewa adalah enjin 8.0 liter W16 yang menghamburkan 1,600hp, sekali gus membolehkan jentera mewah ini memecut dari 0-100km/j dalam 2.4 saat, 0-200km/j dalam 6.1 saat dan 0-300km/j dalam 13.1 saat. Kelajuan maksimum pula dihadkan secara elektronik pada 380km/j.
Selain enjin yang begitu berkuasa, prestasi ini turut disumbangkanoleh pengurangan berat yang melibatkan penggunaan komponen-komponen ringan seperti pengelap cermin dan bar penstabil yang diperbuat daripada gentian karbon. Hasilnya, Bugatti berjaya membuang kira-kira 20kg berat berlebihan jika dibandingkan dengan Chiron.
Centodieci akan ditawarkan dalam bilangan yang sangat terhad iaitu 10 unit, dengan harga bermula dari 8 juta Euro (RM37 juta) setiap satu. Penghantaran dijangka bermula dalam masa dua tahun lagi.