Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Czinger 21C Dengan 1,233hp, Buat Kemunculan Sulung Pameran Motor Geneva Mac Ini

Erywan 25/02/2020 | 05:49 MYT
Sebuah syarikat ‘startup’ yang berpengkalan di California iaitu Czinger Vehicles Inc bakal membuat kejutan di Geneva Motor Show 2020 pada Mac ini, dengan model pertama mereka yang dikenali sebagai 21C.
Bakal bersaing dalam segmen hypercar, 21C menampilkan trenkuasa hibrid yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 1,233hp. Konfigurasi hibrid itu terdiri daripada enjin 2.88-liter V8 dengan pengecas turbo berkembar dan tiga motor elektrik.
Dua daripadanya ditugaskan untuk menggerakkan roda hadapan, manakala enjin memacu roda belakang. Diposisikan antara enjin dan transmisi, motor ketiga pula bertindak sebagai penjana yang membekalkan tenaga kepada dua motor tadi.
Tenaga yang disalurkan daripada motor penjana itu akan disimpan di dalam pek bateri lithium-titanate yang dikatakan mempunyai kapasiti pengecasan yang lebih pantas berbanding bateri lithium-ion.
Dengan transmisi berjujukan tujuh kelajuan, 21C hanya memerlukan 1.9 saat untuk memecut dari 0 hingga 100km/j dan 15 saat untuk mencapai kelajuan 300km/j. Menurut Czinger (disebut ‘zinger’), jentera ini mempunyai kelajuan maksimum 431km/j.
Syarikat itu sedang bekerjasama dengan Michelin untuk membangunkan tayar yang boleh menampung kelajuan berkenaan.
Apa yang menarik, angka ini adalah untuk versi standard. Czinger mengesahkan bahawa ia akan turut menghasilkan versi litar yang lebih ringan dan ‘downforce’ yang lebih tinggi. Ini bagaimanapun akan menyebabkan kelajuan maksimum berkurang.
Selain prestasi yang mengagumkan, model ini juga bakal menampilkan konsep pembinaan yang unik iaitu pencetakan 3D. Ia mempunyai dua tempat duduk dengan kerusi penumpang diletakkan di belakang pemandu. Berat pula dikatakan sekitar 1,250kg.
Czinger merancang untuk menghasilkan 80 unit 21C dengan harga kira-kira 1.7 juta USD (RM7.1 juta) seunit.
;