Antarabangsa
Donkervoort D8 GTO-JD70 - Model Istimewa Yang Setiap Panel Guna Gentian Karbon
Donkervoort Automobielen, pengeluar kenderaan kecil-kecilan dari Belanda, memperkenalkan model edisi istimewa D8 GTO-JD70 ‘Bare Naked Carbon Edition’ yang dihasilkan sempena ulang tahun kelahiran ke-70 pengasasnya iaitu Joop Donkervoort.
Apa yang istimewa mengenai model ini adalah setiap panel diperbuat daripada gentian karbon dengan anyaman yang terdedah.
Donkervoort menawarkan empat jenis pakej naik taraf untuk panel gentian karbon tersebut iaitu Exposed Carbon, Hyper Carbon Weave, Full-Exposed Carbon dan Full-Exposed Coloured Carbon.
Bagi Full-Exposed Coloured Carbon, pelanggan boleh memilih beberapa warna untuk panel badan termasuk hijau, merah, biru, kelabu, emas atau kemasan metalik. Ia dijual pada harga bermula 163,636.36 Euro (RM815,870).
D8 GTO-JD70 adalah model paling berkuasa pernah dihasilkan Donkervoort, dengan enjin turbo 2.5-liter lima silinder yang menjana 415hp dan 520Nm. Enjin yang diperoleh daripada Audi itu digabungkan dengan transmisi manual lima kelajuan dan Limited-Slip Differential pada gandar belakang.
Menurut syarikat itu, jentera ini mengambil selekoh dengan kekuatan lateral mencecah 2G walaupun dengan kelengkapan dan tayar standard keluaran Nankang.
Casisnya terdiri daripada rangka tangga tiub keluli (tubular steel ladder frame) yang diperkuatkan dengan gentian karbon dan aluminium. Rangka ini dipadankan dengan suspensi jenis double wishbone dan peredam boleh laras Intrax pada gandar hadapan dan belakang.
Kuasa membrek pula dibekalkan oleh cakera Tarox berukuran 310mm dan angkup enam omboh pada bahagian hadapan, dan cakera 285mm dengan angkup omboh tunggal pada bahagian belakang.
Ia memakai rim aloi yang didatangkan dalam saiz 17 inci di hadapan dan 18 inci di belakang. Rim tersebut turut ditawarkan dalam versi gentian karbon.