Antarabangsa
Donkervoort D8 GTO-JD70 R Versi Litar Lebih Laju, Garang Dan Selamat - Harga Hampir RM1 juta
Pada bulan Jun lalu, Donkervoort menawarkan pengalaman pemanduan dengan bumbung terbuka kepada 70 pelanggan terpilih menerusi model D8 GTO-JD70. Kali ini, pengeluar dari Belanda itu kembali dengan versi litar yang dikatakan lebih “laju, garang dan selamat”.
Dikenali sebagai D8 GTO-JD70 R, model ini dibangunkan khas untuk mereka yang gemar menghabiskan hujung minggu di litar lumba. Ia mempunyai 415hp dan 560Nm yang dibekalkan oleh enjin TFSI 2.5-liter lima silinder sebaris yang digandingkan dengan transmisi berjujukan enam kelajuan.
Dengan berat hanya 725kg, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 2.7 saat sebelum mencecah kelajuan 200km/j lima saat kemudian. Walaupun tidak mempunyai bumbung dan komponen aerodinamik yang menyeluruh, ia boleh mencapai kelajuan maksimum yang agak tinggi iaitu 280km/j.
Perbezaan utama antara JD70 R dan JD70 adalah sistem suspensi yang sudah ditambah baik. Untuk model ini, Donkervoort menggunakan peredam boleh laras Intrax, gegelung kustom dan ‘anti-roll bar’ yang lebih tegar, manakala paras ketinggian diturunkan sebanyak 20mm.
Gabungan sistem suspensi yang ditambahbaik serta tayar ‘slick’ Nankang membolehkan jentera ini menjana 2.25G ketika pecutan lateral. Cakera berukuran 310mm dan angkup monoblok enam piston pada bahagian hadapan dan cakera 285mm di belakang memastikan ia mempunyai kuasa membrek yang secukupnya.
Dari segi keselamatan, JD70 R dilengkapi dengan rangka keselamatan Bilster Berg, abah-abah enam poin, gentian karbon Ex-Core untuk perlindungan impak sisi serta sistem pemadam api dengan enam jet yang berfungsi untuk menyembur busa ke dalam ruang enjin dan kabin. Pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan tangki bahan api FIA.
Seperti yang dijangka, jentera litar yang eksklusif ini bukan murah. Ia dijual pada harga bermula 198,000 Euro (RM975,265).