Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Ducati Monster 2021 Lebih Ringan, Kompak Dan Tampil Rekaan Agresif

Erywan 03/12/2020 | 08:23 MYT

Sebelum ini Ducati memperkenalkan Multistrada dengan enjin V4, tetapi kali ini pengeluar jentera dua roda dari Itali itu melancarkan model Monster yang baharu.

Pembaharuan yang dilakukan pada Monster ini membabitkan ia lebih ringan dan kompak. Ia kini menggunakan kerangka diinspirasi daripada model Panigale dengan penggunaan material aluminium pada bahagian depan dan lebih ringan sehingga 4.5kg berbanding trellis.
Pada sama, ia turut menggunakan rim lebih ringan 1.7kg, lengan ayun turut dikurangkan beratnya sehingga 1.6kg. Malah bahagian sisi yang lebih kecil sekali gus memudahkan penunggang mencapai kaki pada bahagian permukaan tanah. Ketinggian tempat duduk Monster baharu ini mencecah 820mm, tetapi ia turut ditawarkan pelana yang lebih rendah iaitu 800mm sebagai pilihan.
Dengan jarak roda sepanjang 1,474mm, ia memberi kelebihan sudut pusingan untuk memudahkan tunggangan pada kelajuan rendah. Jadi ia juga sesuai untuk ditunggang di kawasan trafik sesak.
Enjinnya, ia dikuasai Desmodromic Testastretta silinder berkembar bersesaran 937cc yang mana rangkaian kuasa itu lebih ringan sehingga 2.4kg. Kuasa maksimum enjin itu mencecah 111hp pada 9,250rpm dengan tork setinggi 93Nm pada 6,500rpm.
Outputnya sebenarnya meningkat sebanyak 2hp dengan tambahan tork sehingga 6.8Nm. Ini bermakna menyalurkan kuasa lebih bagus pada rev rendah sehingga pertengahan.
Selain itu, ia hadir dengan Quick Shifter sebagai ciri standard, selain menggunakan sistem Ride-by-Wire. Lebih menarik, panel instrumen didatangkan ciri TFT bersaiz 4.3 inci dengan rekaan grafik diinspirasi daripada Panigale V4.
Ia turut didatangkan dengan ciri elektronik lain membabitkan Kawalan Cengkaman Ducati, Launch Control dan Kawalan Wheelie, selain mempunyai 3 mod tunggangan iaitu Sport, Touring dan Urban. Buat masa ini, tiada maklumat jelas bila Monster baharu itu akan memasuki pasaran Malaysia. Tunggu sahaja pengumumannya nanti ya!

#Ducati
;