Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Tempatan

Ducati Multistrada tambah dua varian baharu iaitu 950 S dan 1260 Enduro

Erywan 21/06/2019 | 03:45 MYT
Ducati Multistrada 950 sudah pun memasuki pasaran Malaysia pada 2017 dan kali ini ia didatangkan pula dengan varian 950 S.
Varian Multistrada 950 S direka untuk memberi tunggangan lebih selamat dan menyeronokkan selepas dilengkapi 6-paksi Bosch IMU (Unit Pengukuran Inertial), Bosch Cornering ABS, Vehicle Hold Control (VHC) untuk permulaan bukit yang lebih mudah dan klac hidraulik.
Bagi memberi tunggangan lebih menarik, Multistrada 950 S hadir sistem Ducati Skyhook Suspension (DSS) yang bersambung dengan fork dan penyerap hentak supaya bertindak segera mengikut perubahan pada jalan raya.
Ducati Quick Shift up & down (DQS) turut ditawarkan untuk mengurangkan penggunaan klac ketika menukar gear lebih tinggi atau rendah.
Perumah lampu hadapan kini dipadankan lampu LED, sistem paparan TFT berwarna 5 inci, Sistem Bebas Tangan dan Kawalan Jelajah.
Jentera itu menggunakan enjin Testastretta bersesaran 937cc yang menyalurkan 113hp pada 9,000rpm dengan tork setinggi 96.2Nm pada 7,750rpm.
Harganya pula, ia dijual pada RM95,900 yang ditawarkan dengan dua warna iaitu merah dan kelabu berkilat.
Sementara itu, Multistrada 1260 Enduro dijual pada harga RM138,900 (merah) dan RM 139,900 (Sand) yang menggunakan enjin Ducati Testastretta DVT dengan menyalurkan kuasa dari julat pertengahan. Enjin 1,262cc Testastretta DVT yang digunakan menghamburkan 158hp dengan tork setinggi 129.5Nm.
Buat pengetahuan anda, Multistrada 1260 Enduro memiliki kuasa tork paling tinggi dalam kategorinya, selain hadir Ducati Quick Shift Up & Down sebagai ciri standard.
Turut disediakan adalah pilihan mod tunggangan untuk memastikan kawalan yang mudah mengikut keadaan.
Ciri lain yang ada motosikal touring itu membabitkan Bosch Cornering ABS, Kawalan Cengkaman Ducati, Ride by Wire, Kawalan Wheelie Ducati dan separa-aktif active Ducati Skyhook Suspensions (DSS) Evolution.
Sebagai model Enduro, ia menggunakan rim jenis lidi – 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dan didatangkan dengan tangki bahan api 30 liter.
#Ducati #Multistrada
;