Antarabangsa

Ferrari F430 Pernah Jadi Milik Donald Trump Kini Dilelong

Erywan
08/01/2021
03:13 MYT
Sponsor Banner
Ferrari F430 Pernah Jadi Milik Donald Trump Kini Dilelong
Sebuah Ferrari berwarna merah yang pernah dimiliki Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump nampaknya akan dilelong buat kali kedua tidak lama lagi.
Ferrari F430 F1 itu pernah berada dalam pemilikan Trump selama empat tahun bermula 2007 hingga 2011. Taikun hartanah itu membeli kereta tona Corsa Red itu dari pengedar di Long Island. Pada masa itu, F430 F1 dikhabarkan berharga AS$197,698 (RM795,240).
Kali pertama kereta itu dilelong ialah pada Mac 2017 dan mencecah harga bidaan tertinggi sebanyak AS$270,000 (RM1.08 juta). Untuk lelongan kedua pula, rekod menunjukkan Ferrari F430 itu sudah bertukar tangan tiga pemilik dan dipandu sejauh 6,910 batu (11,120 kilometer). Ketika dalam pemilikan Trump, beliau cuma pandu sejauh 2,400 batu atau 3,862 kilometer.
Acara jualan kali ini akan dikendalikan firma lelongan Mecum antara 7 hingga 16 Januari ini di bandar Kissimmee di Florida, AS.Menurut maklumat dikongsi, sesiapa yang membeli kereta mewah ini akan terima pelekat cermin, penutup kereta dan aksesori lain.
Selain itu, dia juga akan mendapat dokumen pemilikan asli yang tertera nama Trump, pendaftaran alamat di Trump Tower di Bandar Raya New York dan tanda tangan Presiden AS. Sesuai untuk dijadikan bahan koleksi bagi pelaburan menerusi lelongan akan datang.
Ferrari F430 F1 itu menggunakan enjin 4.3 liter V8 yang mampu jana 483hp. Sistem transmisinya adalah jenis enam kelajuan sequential. Masa pecutan dari 0 hingga 96 kilometer sejam (km/j) ialah 3.5 saat dengan kelajuan maksimum 315 km/j.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar