Antarabangsa
Finja 500 Versi Murah Kawasaki ZX-10R, Harga Dalam Sekitar RM8,000
Isu plagiat reka bentuk produk automotif tidak pernah reda di China. Jika sebelum ini kita pernah melihat versi murah klon BMW S1000R, kali ini China mengejutkan pasaran menerusi model Finja 500. Sportbike itu dikatakan meniru penggayaan Kawasaki Ninja ZX-10R.
Bukanlah sukar untuk mengesan penampilan Finja 500 yang mirip versi Ninja ZX-10R baharu itu. Dari rekaan lampu depan dan belakang sama dengan ZX-10R, cuma bahagian janakuasa menggunakan enjin 500cc silinder berkembar. Lampu depan boleh dikatakan 80 peratus mirip rekaan Ninja ZX-10R hanya berbeza adalah LED dan cermin lampu.
Rekaan belakang yang slim dan runcing sama dengan ZX-10R. Di tengah hendal tersedia paparan skrin meter yang memiliki susun atur yang sama cuma paparan antara muka elektronik sedikit berbeza. Perbezaan lain yang dikesan adalah hujung paip ekzos. Model China itu dilengkapi dengan ABS bersama tabung minyak pada fork terbalik.
Rekaan grafik dan warna badan jentera itu mirip dengan pengeluar Jepun cuma pada sisi fairing tertera lencana jenama produk berkenaan Finja. Model itu khabarnya memiliki kuasa 50hp dan sudahpun dijual di China pada harga sekitar RM8,000.
Sumber gambar: MotoSaigon.vn