Tempatan
Ford F-150 Lightning - Pikap Trak Elektrik Yang Boleh Memecut 0-94km/j Dalam 4.4 Saat
Nampaknya trend kenderaan elektrik yang menjadi ikutan jenama-jenama automotif terkemuka dunia semakin lama semakin berkembang. Tidak cukup dengan sedan dan SUV elektrik, kini ada pengeluar yang mula memperkenalkan trak pikap elektrik.
Berikutan pengenalan Tesla Cybertruck dan GMC Hummer EV Pickup, kini tiba giliran Ford untuk memperkenalkan trak pikap elektrik mereka sendiri iaitu F-150 Lightning. Ia menggunakan F-150 generasi ke-14 yang diperkenalkan pada tahun lalu sebagai asas.
Model ini akan ditawarkan dalam beberapa varian dengan tahap kelengkapan dan jarak pemanduan yang berbeza. Bagaimanapun, semua versi dilengkapi dengan sepasang motor elektrik, satu pada setiap gandar, sekaligus memberikannya pacuan empat roda.
Varian tertinggi mempunyai kuasa mencecah 563hp dan 1,051Nm, membolehkannya melakukan pecutan 0-96km/j dalam 4.4 saat. Ford menawarkan dua jenis kapasiti bateri, dengan jarak pemanduan sejauh 370km untuk bateri standard atau 480km untuk bateri ‘extended range’.
Untuk pengecasan, bateri standard mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengecas dari 15 hingga 80 peratus dengan menggunakan pengecas pantas berkapasiti 150kW. Jika diambil kira dari sudut yang lain, setiap pengecasan selama 10 minit akan memberikan jarak pemanduan tambahan sebanyak 66 km untuk bateri standard atau 87 km untuk bateri berkapasiti lebih tinggi.
Sebagai sebuah kenderaan elektrik, F-150 Lightning mempunyai satu ciri bergelar Pro Power Onboard yang boleh digunakan untuk membekalkan kuasa kepada pelbagai perkakasan elektrik. Sistem Intelligent Power Backup pula menjadikan trak ini sebagai sumber kuasa sandaran untuk kediaman sekiranya berlaku gangguan bekalan kuasa elektrik.
Satu lagi ciri menarik yang ada pada trak ini adalah ruang kosong pada bahagian hadapan yang tersembunyi di bawah hud. Ketiadaan enjin pembakaran dalaman membolehkan Ford menghasilkan ruang storan tambahan berkapasiti 400 liter yang boleh menampung beban sehingga 180 kg.
Di dalam, terdapat panel instrumen digital berukuran 12 inci dan pada konsol tengah pula terpampang sebuah skrin sentuh berukuran 15.5 inci yang diletakkan secara menegak. Antara ciri yang disertakan adalah Apple CarPlay, Android Auto, ciri arahan suara serta kemaskini perisian atas udara. Turut disertakan adalah sistem pemanduan autonomi Tahap 2.
F-150 Lightning akan memasuki pasaran Amerika Syarikat pada tahun hadapan, dengan harga bermula $39,974 (RM165,632) untuk varian paling asas.